Kami tak akan terima Zahid, kata Dr Mahathir 


Alfian Z.M. Tahir

Kita akan tolak permohonan Zahid sekiranya beliau mahu sertai kami, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 8 Julai, 2019.

BERSATU tidak akan menerima Zahid Hamidi menyertai parti itu kerana Umno sendiri tidak mahu menerima ahli Parlimen Bagan Datuk itu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau menempelak demikian bagi menjawab kenyataan Zahid bahawa Umno tidak akan menyertai Bersatu.

“Presidennya tidak akan diterima tetapi ahlinya dialukan menyertai kami. 

“Kita akan tolak permohonannya (Zahid) sekiranya beliau mahu sertai kami,” kata Dr Mahathir selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini. 

Terdahulu Zahid berkata walaupun Umno terbuka untuk tawaran itu, ia tidak akan menerima jemputan Dr Mahathir yang juga pengerusi Bersatu untuk menyertai partinya. 

“Ia tidak dapat diterima bahawa DAP mengawal kerajaan kini. Lebih-lebih lagi apabila ia mahu merealisasikan agenda Malaysian Malaysia,” kata presiden Umno kepada pemberita di Parlimen hari ini.

“Kami tidak dapat menerima tawaran daripada mana-mana parti yang masih bekerjasama dengan DAP. Ini adalah pendirian rasmi Umno dan Barisan Nasional.”

Umno yang merupakan parti pembangkang terbesar, kini menjadikan DAP sebagai sasaran utamanya sejak tewas pada pilihan raya umum lalu.

Dr Mahathir menjemput semua parti Melayu, termasuk Umno untuk menyertai Bersatu sebagai usaha untuk menyatukan orang Melayu pada Jumaat lalu.

“Sekiranya kita berpecah, kita akan jadi lemah, bersatu teguh, bercerai roboh. Tetapi kita dapati ada orang tubuhkan parti baharu, kini kita menjadi enam, tak lama lagi jadi 10, kemudian 100.

“Jika ada 30 orang dalam satu parti, bagaimana nak menang (pilihan raya),” katanya pada Majis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Johor, di Dewan Serbaguna Johor Jaya minggu lalu.

Sabtu lalu, Zahid menolak tawaran itu dan berkata, parti Pakatan Harapan, Bersatu dan Amanah perlu dibubarkan demi kepentingan perpaduan Melayu.

Zahid juga berkata Umno tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti atau pemimpin yang mempunyai hubungan rapat dengan parti yang mengabaikan Melayu dan Islam. – 8 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen