Pakatan setuju pendaftaran pengundi automatik 


Alfian Z.M. Tahir

Majlis Presiden Pakatan Harapan bersetuju dengan pendaftaran automatik bagi pengundi yag layak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 8 Julai, 2019

KERAJAAN akan membenarkan pendaftaran automatik pengundi yang layak, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini. 

“Kami bersetuju untuk menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun dan mereka akan didaftarkan secara automatik,” kata Dr Mahathir selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini. 

Minggu lalu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membentangkan usul untuk meminda perlembagaan persekutuan bagi menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Usul itu disokong oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanpa Maidin.

Perbahasan bagi usul berkenaan dijangka akan diadakan pada 16 Julai.

Sekiranya diluluskan, usul itu akan memberi laluan kepada hampir empat juta anak muda untuk menyertai pilihan raya negeri dan pilihan raya umum akan datang.

PH berikrar untuk menurunkan had umur mengundi dalam manifesto pilihan rayanya pada 2018.

Pembangkang sebelum ini meletakkan syarat untuk memberi sokongan bagi meminda perlembagaan.

Ia meminta pendaftaran secara automatik mereka yang mencapai umur 18 tahun sekiranya PH mahukan sokongannya.

Memandangkan ia merupakan pindaan perlembagaan, majoriti dua pertiga diperlukan atau 148 undi bagi membolehkan Perlembagaan Persekutuan dipinda.

Terdapat 222 kerusi di Dewan Rakyat dan Pakatan Harapan mempunyai 139 ahli Parlimen, manakala pembangkang memiliki 77 ahli Parlimen. – 8 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen