BERLIN berkata pihaknya tiada rancangan untuk menghantar tentera ke Syria, sekali gus menolak permintaan AS untuk Jerman meningkatkan penglibatan tenteranya dalam menentang militan IS.
“Apabila saya katakan kerajaan berhasrat untuk meneruskan langkah dalam rangka kerja gabungan anti-IS, ia bermaksud tiada tentera akan dihantar ke lapangan,” kata jurucakap kerajaan Jerman Steffen Seibert.
Wakil khas AS ke Syria James Jeffrey memberitahu media Jerman termasuk akhbar Die Welt bahawa Washington mahu Berlin menghantar tentera ke utara Syria.
Jeffrey yang mengadakan lawatan ke Berlin untuk rundingan Syria menambah, beliau menjangkakan jawapan pada bulan ini.
Mandat bagi penglibatan Jerman ke Syria akan tamat pada 31 Oktober, bermakna parlimen perlu memutuskan langkah seterusnya selepas tarikh berkenaan.
Seibert sedia maklum bahawa Jerman telah memberikan sumbangan signifikan untuk menentang militan IS.
Berlin kini sedang mengadakan rundingan dengan AS, tambahnya.
Washington mempunyai dua matlamat di utara Syria: untuk menyokong pasukan Kurdish yang diusir oleh IS dari utara Syria kerana mereka diancam oleh Turki, dan untuk menghalang pemberontakan IS di negara bergolak itu.
AS turut berharap mendapat bantuan daripada Eropah, memberi tekanan kepada Britain, Perancis dan kini Jerman untuk menghantar pesawat peninjau dan sokongan tentera lain di Syria. – AFP, 8 Julai, 2019
Komen