17 maut kerana kesilapan proses berkhatan


Semua kematian dilaporkan di wilayah Cape Timur, yang merupakan lubuk inisiasi haram, di mana kebanyakan kematian berkaitan proses berkhatan dilaporkan berlaku setiap tahun, menurut Jabatan Kerjasama Tadbir Urus dan Hal Ehwal Tradisional (COGTA). – Gambar EPA, 8 Julai, 2019.

KESILAPAN semasa proses berkhatan telah meragut 17 nyawa di Afrika Selatan sejak upacara inisiasi musim sejuk bermula pada Jun, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa pada Ahad.

Semua kematian dilaporkan di wilayah Cape Timur, yang merupakan lubuk inisiasi haram, di mana kebanyakan kematian berkaitan proses berkhatan dilaporkan berlaku setiap tahun, menurut Jabatan Kerjasama Tadbir Urus dan Hal Ehwal Tradisional (COGTA).

Ini berlaku meskipun terdapat tindakan keras ke atas pusat inisiasi haram bagi mencapai matlamat sifar kematian ketika musim inisiasi.

Setakat ini, agensi penguatkuasaan telah menyelamatkan lebih 100 orang dari pusat inisiasi haram di wilayah itu, menurut COGTA.

Jabatan itu berkata pasukan petugas inisiasi wilayah tersebut akan bermesyuarat tidak lama lagi untuk mengkaji kesilapan yang berlaku dan memikirkan langkah berkesan bagi mencegah khatan secara haram.

Jurucakap COGTA Mamnkeli Ngam berkata pihaknya cuba memastikan bahawa mereka yang bertanggungjawab atas kematian itu akan diheret ke muka pengadilan untuk menghantar satu mesej yang keras.

Ngam berkata sebanyak 24 kes telah dibawa ke mahkamah.

Berkhatan dianggap satu amalan suci dalam budaya Afrika, yang menandakan peralihan seorang lelaki daripada kanak-kanak ke alam dewasa.

Setiap tahun, berpuluh-puluh kanak-kanak lelaki maut manakala ramai lagi dimasukkan ke hospital di Afrika Selatan akibat kesilapan yang berlaku semasa proses berkhatan.

Dalam tempoh 10 tahun lepas, terdapat lebih 1,000 kes amputasi zakar. – Bernama, 8 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen