OPERASI narkotik yang dilancarkan Presiden Rodrigo Duterte telah menjadi satu kempen pembunuhan ‘sistematik’, dakwa Amnesty International pada Isnin, menggesa Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu melancarkan siasatan ke atas ribuan kes kematian.
Perang dadah merupakan inisiatif Duterte dan ia disokong sepenuhnya oleh kebanyakan rakyat Filipina.
Bagaimanapun, pembunuhan suspek oleh polis bertopeng dan lengkap bersenjata itu mencetuskan kritikan antarabangsa.
Dalam laporan kedua sejak operasi itu dilancarkan pada pertengahan 2016, Amnesty berkata terdapat corak pembunuhan jelas dalam operasi polis, penanaman bukti dan penculikan yang bermula dengan apa yang disifatkan sebagai “senarai suspek dalam pemerhatian”.
Nama mereka yang terbabit itu diberikan oleh pegawai pihak berkuasa tempatan “yang menerima tekanan” daripada pihak berkuasa untuk menyediakan senarai suspek, kata badan pemerhati yang berpangkalan di London itu.
“Apa yang lebih teruk, individu terbabit diletakkan selama-lamamnya dalam sebarai berkenaan dan tidak akan dikeluarkan, walaupun mereka telah menjalani rawatan pemulihan atau telah berhenti mengambil dadah,” menurut laporan itu.
Menurut Amnesty, adalah mustahil untuk menentukan berapa ramai yang telah terbunuh dalam kempen berkenaan.
Angka kematian rasmi kerajaan adalah lebih 5,300 orang, namun badan pemerhati itu berkata jumlah sebenar adalah beberapa kali ganda.
“Kami percaya apa yang paling penting adalah berdasarkan penilaian semasa, ia merupakan keganasan yang sistematik,” kata pengarah Amnesty Asia Tenggara Nicholas Bequelin kepada AFP.
Amnesty berkata, media sudah hilang minat terhadap pembunuhan manakala kerajaan gagal untuk menyiasat atau memberikan program rawatan yang betul untuk penagih dadah.
“Ia mempunyai kesan mewujudkan iklim kekotoran total di negara ini, yang mana polis dan lain-lain bebas membunuh tanpa sebab,” katanya. – AFP, 8 Julai, 2019
Komen