KEMENTERIAN Dalam Negeri Oman pada Ahad mengumumkan senarai awal calon bagi pemilihan Dewan Perundingan, iaitu dewan rakyat di parlimen, yang dijadual berlangsung pada Oktober, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan kementerian itu.
Menurut senarai yang disiarkan dalam laman sesawang rasmi bagi pemilihan Dewan Perundingan, jumlah calon ialah 767 orang termasuk 43 wanita.
Kenyataan itu menyebut sebarang bantahan berhubung senarai itu boleh dibangkitkan dalam tempoh lima hari.
Dewan Perundingan Oman terdiri daripada 85 anggota yang mewakili semua negeri dalam negara itu dengan pemilihannya diadakan setiap empat tahun.
Dewan lain dalam parlimen negara itu ialah Dewan Negara terdiri daripada 84 anggota yang dilantik secara langsung melalui dekri diraja.
Terdapat 16 wanita dalam parlimen Oman, yang menyaksikan hanya seorang di Dewan Perundingan dan 15 di Dewan Negara. – Bernama, 8 Julai, 2019
Komen