KOREA Selatan akan melabur sebanyak 500 bilion won (RM1.75 bilion) dalam projek bandar pintar di luar negara untuk dibina oleh syarikat tempatan dalam usaha memupuk bandar pintar sebagai pemacu pertumbuhan masa depan, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan kementerian pengangkutan pada Isnin.
Dengan kerjasama dana pencen tempatan dan pelabur swasta, kementerian itu berhasrat menubuhkan satu dana Loji, Infrastruktur dan Bandar Pintar Global (PIS) bernilai 1.5 trilion won menjelang Disember, menurut Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan.
Kementerian itu merancang untuk menggunakan 500 bilion won dana PIS untuk melabur dalam perjanjian bandar pintar di luar negara.
“Kerajaan sudah menyuntik sejumlah 600 bilion ke dalam dana itu, meskipun bakinya belum diperoleh daripada dana pencen dan sektor swasta,” kata seorang pegawai kementerian itu.
Korea Selatan kini berhasrat mendapatkan projek pembangunan sebuah bandar pintar di Kuwait yang proses bidaannya akan bermula pada separuh pertama 2020, menurut kementerian itu.
Syarikat-syarikat Korea Selatan telah menyediakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), data besar dan teknologi mewah lain kepada bandar pintar di luar negara yang dibina oleh syarikat pembinaan Korea dalam pakej perjanjian itu, katanya.
Baru-baru ini, China dan India telah muncul sebagai pasaran paling berpotensi untuk syarikat-syarikat Korea kerana masing-masing merancang untuk mewujudkan 500 dan 100 bandar pintar pada tahun-tahun akan datang, menurut kementerian itu.
Pasaran bandar pintar global dijangka meningkat kepada $617.2 bilion pada 2023 berbanding $308 bilion dalam tahun 2018, menurut Markets & Markets, sebuah firma perundingan dan penyelidikan pasaran global. – Bernama, 8 Julai, 2019.
Komen