Umno tidak akan sertai Bersatu, kata Zahid 


Diyana Ibrahim Lee Chi Leong Chan Kok Leong

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia adalah pendirian rasmi Umno dan Barisan Nasional.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Julai, 2019

UMNO tidak akan sertai Bersatu selagi kerajaan dikawal oleh DAP, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu berkata, walaupun Umno sentiasa terbuka untuk sebarang tawaran, ia tidak dapat menerima tawaran daripada pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad untuk sertai partinya.

“Ia tidak dapat diterima bahawa DAP mengawal kerajaan kini. Lebih-lebih lagi apabila ia mahu merealisasikan agenda Malaysian Malaysia,” kata Zahid kepada pemberita di Parlimen hari ini.

“Kami tidak dapat menerima tawaran daripada mana-mana parti yang masih bekerjasama dengan DAP. Ini adalah pendirian rasmi Umno dan Barisan Nasional.”

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata demikian ketika mengulas tawaran terbuka Dr Mahathir untuk parti Melayu itu menyertai Bersatu demi perpaduan Melayu.

Umno, yang merupakan parti pembangkang terbesar kini, menjadikan DAP sebagai sasaran utamanya sejak tewas pada pilihan raya umum lalu.

Dr Mahathir menjemput semua parti Melayu, termasuk Umno untuk menyertai Bersatu sebagai usaha untuk menyatukan orang Melayu pada Jumaat lalu.

“Sekiranya kita berpecah, kita akan jadi lemah, bersatu teguh, bercerai roboh. Tetapi kita dapati ada orang tubuhkan parti baharu, kini kita menjadi enam, tak lama lagi jadi 10, kemudian 100.

“Jika ada 30 orang dalam satu parti, bagaimana nak menang (pilihan raya),” katanya pada Majis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Johor, di Dewan Serbaguna Johor Jaya minggu lalu.

Ini merupakan kali kedua Zahid menolak tawaran Dr Mahathir.

Sabtu lalu, Zahid menolak tawaran itu dan berkata, parti Pakatan Harapan, Bersatu dan Amanah perlu dibubarkan demi kepentngan perpaduan Melayu.

Zahid juga berkata Umno tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti atau pemimpin yang mempunyai hubungan rapat dengan parti yang mengabaikan Melayu dan Islam.

DAP merupakan rakan Bersatu dan Amanah dalam PH, yang mana Umno dan sekutunya menuduh parti berkenaan ingin melemahkan kepentingan Melayu.

“Kami tidak mahu perpecahan dalam komuniti Melayu tetapi sebabnya adalah kewujudan pihak-pihak seperti Bersatu dan Amanah. Penyelesaian terbaik ialah membubarkan Bersatu dan Amanah. – 8 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen