14 banduan mati diracun, Tajikistan lancar siasatan


Kejadian berlaku semalam ketika beratus-ratus banduan termasuk lapan wanita sedang dipindahkan dari penjara di utara ke penjara selatan negara itu. – Gambar EPA, 8 Julai, 2019.

TAJIKISTAN melancarkan siasatan jenayah selepas 14 banduan maut diracun ketika dalam perjalanan ke penjara, kata Kementerian Kehakiman hari ini, mencadangkan yang seorang banduan lain mungkin memberikan mangsa roti tercemar.

Kejadian berlaku semalam ketika beratus-ratus banduan termasuk lapan wanita sedang dipindahkan dari penjara di utara ke penjara selatan negara itu.

Kementerian dalam satu kenyataan hari ini berkata seorang banduan mengedarkan roti kepada sekumpulan 16 banduan dalam salah sebuah kenderaan ketika berhenti rehat.

Kenyataan menyebut yang “16 banduan yang berada di dalam sebuah kereta mengalami pening dan muntah-muntah” setengah jam selepas memakan roti itu.

Kakitangan perubatan hanya berjaya menyelamatkan dua orang banduan, kata kenyataan itu lagi yang diedarkan agensi berita negara, Khovar.

Pendakwa raya sudah membuka siasatan jenayah, tambahnya.

Kejadian terbaru ini berlaku selepas rusuhan di sebuah penjara di Dushanbe pada Mei lalu membunuh 32 orang termasuk tiga pengawal, mencetuskan kebimbangan keselamatan keadaan penjara di negara itu.

Pihak berkuasa mendakwa kumpulan pengganas IS bertanggungjawab.

Pada November 2018, sebuah rusuhan didakwa dicetuskan IS menyebabkan 26 orang maut di Khujand.

Tajikistan, negara miskin yang merdeka daripada cengkaman Kesatuan Soviet berdepan perang saudara lima tahun yang menyebabkan ribuan terbunuh selepas kejatuhan blok komunis itu.

Kumpulan hak asasi mengecam pentadbiran Presiden Emomali Rakhmon, 66, yang menerajui negara majoriti Islam itu sejak 1992 yang kerap menindas pembangkang. – AFP, 8 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen