BRITISH Airways didenda lebih £183 juta (RM851 juta) selepas sistem komputernya digodam tahun lepas menyebabkan butiran ribuan pelanggannya dicuri, kata syarikat induknya IAG hari ini.
Dalam satu kenyataan, IAG berkata Pejabat Suruhanjaya Maklumat UK berhasrat mengeluarkan notis penalty £183.39 juta kepada syarikat penerbangan itu di bawah Akta Perlindungan Data UK.
Denda itu bersamaan dengan 1.5% pendapatan British Airways pada 2017, tambah IAG.
Ketua Eksekutif IAG Willie Walsh berkata ia akan merayu jumlah denda itu kerana syarikat itu “sedang mengambil semua langkah diperlukan untuk mempertahankan kedudukan syarikat”.
CEO BA Alex Cruz berkata syarikat “terkejut dan kecewa” dengan hukuman itu.
“British Airways bertindak balas pantas mengikut akta jenayah dalam rompakan data pelanggannya,” katanya dalam satu kenyataan.
BA mendedahkan godaman itu berlaku September lalu, beberapa bulan selepas Kesatuan Eropah mengetatkan undang-undang perlindungan dikenali sebagai Peraturan Perlindungan Data Umum (GDPR).
Data pelanggan yang dicuri termasuklah nama, alamat, email dan maklumat kad kredit.
Bagaimanapun, kebocoran yang berlaku selama 15 hari itu tidak melibatkan butiran perjalanan dan pasport.
IAG adalah pemilik lima syarikat penerbangan iaitu Aer Lingus, Iberia, Level dan Vueling, semuanya tidak terlibat dalam penggodaman itu. – AFP, 8 Julai, 2019.
Komen