SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo pada Ahad memberi amaran bahawa langkah Iran meningkatkan konsentrasi pengayaan uraniumnya akan mengakibatkan tindakan “pengasingan dan sekatan lanjut,” lapor agensi berita China Xinhua.
Terdahulu, pada hari sama Iran mengumumkan bahawa ia akan meningkatkan konsenstrasi pengayaan uraniumnya melebihi 3.67%, had yang ditetapkan oleh perjanjian nuklear antarabangsa 2015 yang bersejarah, juga dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA).
“Peluasan terkini program nuklear Iran akan terus membawa kepada tindakan pengasingan dan sekatan yang lebih lanjut,” kata Pompeo menerusi akaun Twitter sambil menggesa negara-negara lain memulihkan kembali standard itu kepada tiada pengayaan bagi program nuklear Iran.
Pada Mei tahun lepas, pentadbiran Trump secara sepihak telah meninggalkan JCPOA, yang telah dimeterai Iran dengan Britain, China, Perancis, Jerman, Rusia dan AS pada 2015.
Di bawah perjanjian itu, Iran dikehendaki mengehadkan tahap pengayaan uraniumnya pada 3.67% dan menyimpan stok uranium pengayaan gred rendah tidak melebihi 300 kilogram.
Pertubuhan Tenaga Atom Iran (AEOI) berkata peningkatan ketulenan pengayaan uranium daripada tahap semasa 3.67% kepada tahap lebih tinggi adalah bagi “memenuhi keperluan bahan bakar bagi loji kuasa Iran.”
Pada Sabtu, Ali Akbar Velayati, penasihat kepada pemimpin agung Iran, berkata negara itu mungkin meningkatkan ketulenan pengayaan uraniumnya kepada lima peratus sebagai sebahagian daripada keputusan Tehran bagi mengurangkan komitmennya di bawah perjanjian nuklear 2015.
Tehran turut mengumumkan pada awal bulan ini bahawa stok simpanan pengayaan uranium gred rendah Iran telah melebihi jumlah yang dibenarkan di bawah perjanjian itu.
Peluasan aktiviti nuklear Iran dipercayai adalah tindak balas kepada langkah-langkah “tidak mencukupi” negara—negara Eropah bagi memastikan Iran mendapat faedah daripada perjanjian itu selepas penarikan diri AS. – Bernama, 8 Julai, 2019.
Komen