Parti PM Greece kalah pilihan raya


Alexis Tsipras mengakui kekalahan Parti Radikal Kiri Syriza pimpinannya kepada parti konservatif ND dalam pilihan raya umum pada Ahad, yang pertama diadakan sejak negara itu keluar daripada program penyelamatan musim panas lepas. – Gambar AFP, 8 Julai, 2019.

PERDANA Menteri Greece Alexis Tsipras mengakui kekalahan Parti Radikal Kiri Syriza pimpinannya kepada parti konservatif ND dalam pilihan raya umum pada Ahad, yang pertama diadakan sejak negara itu keluar daripada program penyelamatan musim panas lepas, lapor agensi berita China Xinhu.

“Kami menyerahkan Greece yang berbeza kepada kerajaan baharu berbanding negara yang telah diserahkan kepada kami,” katanya dalam kenyataan di dewan Zappeion yang terletak di pusat bandar Athens selepas pengumuman berdasarkan keputusan rasmi awal oleh Kementerian Dalam Negeri.

“Rakyat telah membuat pilihan mereka. Esok saya akan menyambut Encik (Kyriakos) Mitsotakis untuk menyerahkan pejabat Perdana Menteri. Kami terpaksa membayar kos politik bagi keputusan sukar yang kami buat,” kata Tsipras dalam ucapan yang disiarkan secara langsung menerusi stesen rasmi Greece, ERT.

Berdasarkan 66.6% undi dikira, ND meraih sejumlah 39.6% dan majoriti parlimen manakala Syriza memperoleh 31.6% undi.

Keputusan rasmi akhir dijangka diumum pada Isnin, dengan Mitsotakis mengangkat sumpah jawatan di kediaman presiden manakala parlimen baharu akan memberi undi percaya kepada kabinetnya mulai 17 Julai. – Bernama, 8 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen