Jangan angkuh dengan pelawaan Dr Mahathir, kata Hishammuddin


Diyana Ibrahim Chan Kok Leong Lee Chi Leong

Bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein berkata parti juga perlu mengambil kira kaum lain di samping mengukuhkan perpaduan umat Melayu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Julai, 2019.

UMNO tidak harus bersikap angkuh dengan menolak pelawaan Dr Mahathir Mohamad untuk menyertai Bersatu, kata bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein.

Pada masa sama, Umno juga perlu mengambil perpaduan dengan kaum lain dalam menjalin kerjasama untuk mengukuhkan perpaduan umat Melayu, katanya lagi.

“Jangan takbur, jangan angkuh, jangan sombong kerana orang (rakyat) ramai perhati.

“Dalam nak bincang kerjasama kesatuan ummah kena tengok juga apa pula penyatuan kaum lain.

“Dalam menentukan hala tuju masa depan kena ambil semua sentimen ini yang saya tekankan setiap kali,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Beliau mengulas pendirian pemimpin Umno yang menolak pelawaan perdana menteri agar semua parti politik Melayu menyertai Bersatu untuk menguatkan kuasa politik orang Melayu.

Cadangan itu antara lainnya ditolak oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang turut menyalahkan Dr Mahathir sebagai punca perpecahan orang Melayu.

Dakwanya, ia berpunca daripada tindakan Dr Mahathir menubuhkan parti Bersatu untuk menentang Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bersama PKR, DAP dan Amanah.

Umno juga mengusahakan kerjasama politik dengan PAS dengan slogan perpaduan ummah bagi merebut semula sokongan pengundi Melayu yang beralih kepada Pakatan Harapan.

Segelintir pemimpin dalam Umno bagaiamanapun bimbang langkah itu akan mengenepikan kaum lain yang akan menggagalkan usaha parti itu memenangi negeri seperti Selangor.

Bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo berkata perkara yang perlu diutamakan adalah penyatuan rakyat untuk membolehkan parti itu kembali menguasai kerajaan persekutuan.

Menurutnya, usaha penyatuan ummah dengan PAS itu pada masa ini hanya akan membolehkan parti berkenaan menang di Kedah, Kelantan Terengganu. – 8 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen