29 maut bas terhumban sungai di lebuh raya India


Sebuah bas terbabit dalam kemalangan di jalan raya paling sibuk di India hari ini, menyebabkan sekurang-kurangnya 29 maut, kata polis. – Gambar fail AFP, 8 Julai, 2019.

SEBUAH bas terbabit dalam kemalangan di jalan raya paling sibuk di India hari ini, menyebabkan sekurang-kurangnya 29 maut, kata polis.

Pemandu bas terbabit disyaki terlelap sebelum bas dua tingkat itu terlanggar pembahagi jalan dan terjatuh dalam jurang antara dua persimpangan bertingkat di lebuh raya Yamuna dari delhi ke Agra.

Bas itu membawa kira-kira 50 penumpang dari New Deli ke Lucknow, di Uttar Pradesh, ketika kemalangan itu berlaku jam 4.15 pagi tadi.

Ia jatuh lebih 12 meter ke dalam sungai di bawah alan itu, dengan bahagian depan bas terhempas dan air menyukarkan usaha menyelamat mangsa, kata polis.

“Seramai 29 maut dan 18 lagi cedera,” kata majistret Agra N.G. Ravi Kumar di tempat kejadian.

Lebuh raya sepanjang 165km dari Delhi ke Agra, adalah lebuh raya enam lorong terpanjang di India dan kira-kira 900 orang terbunuh di jalan itu sejak dibuka pada 2012, menurut pihak berkuasa.

Lebih 150,000 orang terbunuh dalam setahun di jalan-jalan raya India, yang amat berbahaya kerana infrastruktur yang teruk dan pemandu memandu laju. – AFP, 8 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen