BERI peluang Dr Mahathir Mohamad menerangkan kenyataannya kepada Pakatan Harapan (PH) hari ini berhubung pelawaannya kepada parti Melayu untuk menyertai Bersatu, kata Anwar Ibrahim.
“Kami tidak mendengar apa-apa daripada beliau. Jadi saya fikir kita harus memberi beliau peluang pada mesyuarat hari ini,” kata presiden PKR itu kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian sebagai respons pelawaan terbuka Dr Mahathir kepada parti Melayu lain untuk menyertai Bersatu pada Jumaat lepas.
Apabila ditanya sama ada PKR akan menentang pelawaan Bersatu, Anwar menjawab: “Saya fikir saya telah cakap yang kita perlu memberi peluang kepada beliau untuk menjelaskannya kepada Majlis Pimpinan Pakatan. Terima kasih.”
Anwar juga enggan memberikan pendapatnya mengenai perkara itu.
PH dijangka mengadakan Majlis Mesyuarat Presiden bulanan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.
Sementara itu, ketua Pemuda Santubong yang dipecat, Haziq Abdullah Abdul Aziz, akan diberi hak sama dengan ahli lain, kata Anwar.
“Ada satu proses yang membolehkan beliau merayu.
“Sesiapa yang dipecat boleh merayu kepada jawatankuasa disiplin. Bukannya saya,” kata Anwar ketika ditanya mengenai rancangan Haziq untuk merayu pemecatannya daripada PKR.
Jawatankuasa Disiplin PKR memecat Haziq pada Rabu lalu kerana mencemar nama baik parti.
Bekas pembantu khas kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar mendakwa beliau melakukan hubungan seks dengan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali beberapa kali. – 8 Julai, 2019.
Komen