Kemenangan saya bukti DAP parti untuk semua, kata ketua DAPSY Johor


Ragananthini Vethasalam

Sheikh Umar Bagharib Ali, yang baru menang jawatan ketua Pemuda DAP Johor berkata pelantikannya itu bukti bahawa DAP adalah parti untuk semua bangsa dan agama. – Gambar Facebook, 8 Julai, 2019.

SHEIKH Umar Bagharib Ali, Melayu pertama yang mengetuai sayap pemuda DAP negeri, berkata pelantikannya itu bukti bahawa DAP adalah parti untuk semua bangsa dan agama.

Pemilihannya dalam parti majoriti Cina itu menunjukkan DAP untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira apa pun juga kepercayaan seseorang, kata Sheikh Umar kepada The Malaysian Insight.

“Ini membuktikan DAP dan DAPSY untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

“Saya naik walaupun bukan Cina dan latar belakang pendidikan saya ialah Islam. Ini masanya untuk kita tunjukkan bahawa DAP untuk semua rakyat Malaysia.”

Beliau berkata matlamatnya ialah untuk mendapatkan lebih banyak sokongan dan penerimaan belia daripada semua kaum dan agama.

“Kebanyakan media menonjolkan saya Melayu pertama (memegang jawatan itu) tetapi saya berharap DAPSY akan dapat lebih banyak sokongan dan penerimaan golongan muda daripada semua kaum dan agama.”

Ketika ditanya sama ada pelantikan itu sebagai perubahan dalam Johor, negeri kubu kuat Umnod an Bersatu, Adun Paloh itu berkata beliau menyertai DAP pada 2015 sebagai bekas aktivis PAS.

“Sebenarnya dari awal pun, bila saya sertai DAP sebagai bekas aktivis PAS dan latar belakang pendidikan saya Islam, ia boleh dikatakan sebagai satu titik perubahan penting,” katanya, menambah ia memadamkan kepercayaan popular bahawa DAP ialah parti berasaskan Cina.

Sheikh Umar berkata beliau juga perlu menanggung tanggungjawab berat kerana menggalas jawatan ketika DAP adalah sebahagian daripada kerajaan, bukan lagi pembangkang.

“Ini tugas berat untuk saya.”

Terdahulu, sebagai pembangkang peranannya terhad kepada bersetuju atau tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan tetapi sekarang bila di pihak kerajaan, DAPSY ada peranan lebih besar di negeri, katanya.

“Pertama sekali, kita tahu tugas DAPSY ialah memupuk pemimpin generasi depan. Ini jalan yang akan kita teruskan.” – 8 Julai, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen