PRESIDEN AS Donald Trump semalam berkata pusat tahanan migran yang mendapat kritikan hebat kerana terlampau ramai dan keadaan yang daif, akan dibuka kepada wartawan.
“Saya akan mula menunjukkan beberapa pusat tahanan ini kepada media. Saya mahu media masuk dan lihat mereka,” katanya kepada wartawan di Morristown, New Jersey.
“Kami akan benarkan media masuk kerana mereka terlalu ramai, dan kami yang mengadu tentang jumlah mereka yang ramai,” katanya.
Komennya itu dibuat selepas The New York Times dan The El Paso Times pada Sabtu menerbitkan artikel menggambarkan stesen Kawalan Sempadan di Clint, Texas dipenuhi ratusan kanak-kanak memakai baju kotor dan bersesak-sesak dalam sel yang ada pesakit berjangkit – berita yang Trump kata “satu penipuan”.
“Bau busuk baju kanak-kanak sangat kuat hingga terlekat di baju agen – penduduk di bandar itu tutup hidup bila mereka balik kerja. Kanak-kanak di situ sentiasa menangis,” kata artikel itu.
“Seorang kanak-kanak perempuan nampak sangat menyedihkan apabila agen suruh dia tidur dalam katil bayi di depan mereka, supaya mereka boleh memantaunya ketika memproses kemasukan migran baharu.”
Artikel itu senada dengan laporan badan pemantau Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) yang dikeluarkan minggu lalu tentang jumlah terlalu ramai di pusat tahanan yang membahayakan.
Pusat tahanan menempatkan ribuan migran yang cuba masuk ke AS, kebanyakannya melarikan diri daripada keganasan dan kemiskinan di kampung halaman di Amerika Tengah.
Wakil rakyat Demokratik yang turut melawat pusat tahanan melaporkan jumlah terlalu ramai di sel dengan tiada bekalan air, di mana kanak-kanak dan dewasa kekurangan akses kepada ubat yang diperlukan di mana mereka juga tidak mandi hingga dua minggu.
Trump sebelum ini tidak menunjukkan simpati kepada migran di pusat tahanan, malam berkata di Twitter: “Jika pendatang haram tidak gembira dengan keadaan di pusat tahanan, beritahu mereka jangan datang sini. Selesai semua masalah!” – AFP, 8 Julai, 2019.
Komen