Kami tawar perjanjian baru, bukan rundingan semula Perjanjian Malaysia, kata Pakatan Sabah


Jason Santos

Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengatakan Sabah dan Sarawak tidak pernah diberi peluang membincangkan semula Perjanjian Malaysia 1963 sehingga menyebabkan kedua negeri itu sering ditindas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2017.

MANIFESTO khas Pakatan Harapan (PH) untuk Sabah dan Sarawak bukanlah perundingan semula Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tetapi perjanjian baru untuk Malaysia Timur sekiranya mereka berkuasa, kata Pengerusi PH Sabah Christina Liew.

Pemimpin PKR itu mendakwa beberapa pemimpin parti di Sabah memutar belit kata-kata Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad di Kuching, Sarawak awal minggu ini yang mendakwa manifesto itu adalah “janji” yang akan dilaksanakan sekiranya PH berjaya menakluk Putrajaya.

PH mengatakan ia perlu memenangi 40 kerusi di kedua-dua negeri Malaysia Timur itu bagi memperolehi majoriti dalam Parlimen seterusnya membolehkan pelaksanaan perjanjian baru menjadi kenyataan.

“Kita bercakap tentang perjanjian baru yang lebih baik berbanding yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963. Bahagian pertama manifesto itu sudah dilancarkan di Sabah,  dan akan ada bahagian 2 dan 3.

“Perkara paling penting adalah perjanjian baru itu akan mengutamakan kepentingan Sabah dan rakyatnya,” katanya kepada The Malaysian Insight hari ini.                                                                                                                      

Dalam kecaman terbaru kepada manifesto pembangkang, Timbalan Ketua Menteri Sabah Raymond Tan mengatakan manifesto PH Sabah menunjukkan mereka tidak bersetuju langsung dengan Dr Mahathir dan penasihat DAP Lim Kit Siang yang mahu “menyemak”, “berunding semula” dan “membatalkan” undang-undang yang melanggar hak istimewa negeri Malaysia Timur itu.

Parti Warisan Sabah yang berpangkalan di Sabah turut mengatakan hak istimewa Sabah termaktub dalam MA63 tidak perlu dirunding kembali oleh Putrajaya tetapi ia perlu dipatuhi, dihormati dan dilaksanakan.

Liew dalam serangan balas kepada kenyataan itu, berkata manifesto PH bukan sekadar janji yang akan ditunaikan pembangkang, tetapi PH Sabah juga akan meminta lebih banyak kuasa perundangan sebaik sahaja statusnya sebagai negeri setaraf dalam persekutuan dikembalikan.

Antara janji dalam manifesto PH adalah meningkatkan royalti minyak negeri Borneo itu kepada 20% berbanding hanya 5% sekarang dan 50% perkongsian pendapatan. – 30 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen