MUSIM monsun menyebabkan tanah runtuh di beberapa kem pelarian Rohingya di Bangladesh menyebabkan seorang terbunuh manakala 4,500 yang lain hilang tempat tinggal, kata pihak berkuasa bantuan semalam.
Kira-kira 35cm hujan turun selama 72 jam sebelum tanah runtuh itu bermula pada Sabtu di kem sekitar Cox’s Bazar yang menempatkan lebih 900,000 masyarakat minoriti Islam itu yang melarikan diri dari Myanmar, kata PBB.
Sebanyak 26 tanah runtuh dilaporkan di kem sementara yang dibina di beberapa bukit berhampiran sempadan Myanmar. Pokok-pokok di situ ditebang untuk membina pondok dan kayu api, menyebabkan tebing tidak stabil.
Pegawai agensi pelarian PBB Areez Rahman berkata kira-kira 30 kem pelarian terjejas akibat ribut. Seorang wanita berusia 50-an maut selepas dihempap dinding yang runtuh, katanya.
Nur Mohammad, 40, pelarian Rohingya di kem utama Kutupalong berkata 12 saudaranya melarikan diri dari pondok mereka di kawasan bukit dan berteduh di kem bersamanya.
Pihak berkuasa berkata kira-kira 5,000 Rohingya yang berteduh di kawasan sempadan antara Bangladesh dan Myanmar juga teruk terjejas akibat ribut.
“Kanak-kanak mengalami cirit-birit dan kami tidak ada air bersih yang mencukupi untuk minum,” kata ketua kem Dil Mohammad.
Katanya, kebanyakan kem banjir separas lutut kerana pihak berkuasa Myanmar meletakkan empangan di sungai berhampiran.
Kira-kira 740,000 Rohingya melarikan diri daripada tindakan kekerasan Myanmar terhadap Rakhine sejak Ogos 2017. Ia menambah kepada 200,000 lagi Rohingya yang sudah pun tinggal di kem di sekitar sempadan dua negara itu. – AFP, 8 Julai, 2019.
Komen