70 individu ditahan sertai protes di Malawi


Penunjuk perasaan melihat kereta kebal tentera berkawal di Malawi ketika demonstrasi membantah keputusan pilihan raya diadakan di seluruh negara itu. – Gambar AFP, 8 Julai, 2019.

POLIS Malawi menahan berpuluh-puluh individu daripada gelombang protes yang menggemparkan negara itu susulan keputusan pilihan raya pada Mei yang dimenangi Presiden Peter Mutharika.

Hampir 70 individu ditahan, kata polis, sehari selepas Mutharika menuduh penunjuk perasaan merancang untuk menggulingkan kerajaannya.

Polis berkata penahanan itu dibuat atas alasan “tindakan jenayah”, termasuk merompak dan membaling batu ke arah kereta dan bangunan ketika demonstrasi pada Khamis.

“Setakat ini kami menahan 68 suspek berkaitan kes rompakan dan mencederakan pegawai polis,” kata polis dalam satu kenyataan.

Penganjur protes tetap berdegil, berjanji untuk kembali ke jalanan mendesak ketua pesuruhjaya pilihan raya Jane Ansah, meletak jawatan.

Satu lagi protes dijadualkan bersambung hari ini.

“Kami akan ke jalanan menggunakan hak kami secara aman,” kata penganjur, satu gabungan kumpulan hak asasi manusia.

Pada Sabtu, Mutharika berkata himpunan yang diadakan sempena sambutan ke-55 kemerdekaan negara itu bertukar kepada keganasan susulan protes berkenaan bertujuan menjadikan Malawi negara tiada undang-undang.

Protes di seluruh negara itu dianjurkan kumpulan NGO yang menolak tuduhan bahawa rakyat cuba menggulingkan kerajaan.

Setakat ini penganjur utama protes itu belum ditahan. – AFP, 8 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen