Nepal batal sambutan ulang tahun Dalai Lama


Dalai Lama menjadi tokoh kerohanian bagi penganut Buddha dan pelarian Tibet. – Gambar EPA, 7 Julai, 2019.

PERAYAAN ulang tahun Dalai Lama di Nepal telah dibatalkan pada hari Ahad selepas kerajaan negara itu tidak memberikan kebenaran untuk majlis itu diadakan, kata pihak berkuasa.

Tindakan itu dilihat sebagai satu lagi petanda yang menunjukkan pengaruh China semakin meningkat terhadap negara jiran di rantau Himalaya.

Nepal adalah tempat perlindungan kepada 20,000 warga Tibet yang dibuang negara, namun di bawah tekanan Beijing, kerajaan negara itu kini mengambil sikap yang semakin tegas terhadap kegiatan mereka.

“Kebenaran tidak dikeluarkan kerana mungkin terdapat masalah berhubung  keamanan,” kata Krishna Bahadur Katuwal, penolong ketua pegawai daerah Kathmandu.

“Tidak ada apa yang boleh berlaku, tetapi kita perlu berhati-hati tentang kemungkinan aktiviti yang tidak sesuai atau bahkan kejadian melukakan diri sendiri,” katanya kepada AFP.

Terdapat kakitangan keselamatan pada hari Sabtu di kawasan yang diduduki masyarakat yang berasal dari Tibet - termasuk berhampiran sebuah biara di mana perayaan ulang tahun ke-84 Dalai Lama dirancang.

“Banyak persediaan telah dibuat tetapi pada akhirnya kami tidak mendapat kebenaran. Kerajaan semakin ketat ... apa yang boleh kita lakukan,” kata ahli jawatankuasa penganjur.

Beliau mengatakan bahawa kaum keluarga dalam masyarakat itu juga telah menyambut hari lahir pemimpin kerohanian mereka itu secara bersendirian di rumah.

Beribu-ribu pelarian Tibet melarikan diri ke sempadan Nepal selepas pemberontakan 10 Mac 1959 terhadap pemerintahan China, yang memaksa Dalai Lama menjadi orang buangan.

Pernah menjadi tempat selamat untuk pelarian Tibet, peningkatan tindakan keras polis terhadap kumpulan itu telah menyebabkan kegiatan masyarakat itu terbantut.

Kerajaan Nepal juga berulang kali mengatakan bahawa ia komited menyatukan dasarnya bersama China. – AFP, 7 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen