Polis masih siasat video seks, kata Muhyiddin


Noel Achariam

Muhyiddin berkata pasukan penyiasat yang dibentuk bulan lalu kini sedang meneliti dakwaan berkaitan video seks tersebut. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 7 Julai, 2019.

POLIS masih menyiasat video seks yang didakwa membabitkan seorang menteri, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin. 

Beliau berkata pasukan penyiasat yang dibentuk bulan lalu kini sedang meneliti dakwaan tersebut. 

“Pasukan petugas sedang menyiasat, dan kami tak mahu ganggu kerja mereka. 

“Ketika mereka dapat keputusan dalam siasatan, mereka akan maklumkan kepada saya, dan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador. Kemudian kami akan bentang pula kepada perdana menteri,” kata beliau pada acara rumah terbuka Hari Raya Pulapol di Kuala Lumpur.

Muhyiddin turut berkata bahawa tidak ada batas waktu tertentu dalam siasatan tersebut. 

Terdahulu, bekas ketua pemuda PKR Santubong, Haziq Aziz mengaku terlibat melakukan hubungan seks dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Dalam pengakuannya, sehari selepas tersebar rakaman seks dua lelaki, Haziq turut menggesa agensi anti rasuah menyiasat Azmin yang didakwanya tidak layak jadi pemimpin kerana korup.

Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, menafikan tuduhan Haziq, yang disifatkannya fitnah jahat bertujuan memusnahkan masa depan politiknya.

Surat tunjuk sebab kepada Haziq sebelum ini mencetuskan pertelagahan dalam PKR apabila ada pandangan yang mahukan beliau dipecat serta merta.

Susulan daripada kenyataan Haziq, pemimpin PKR bertelagah meminta parti memecat Haziq.

Haziq sebelum ini dipecat daripada jawatan setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang juga Ketua Penerangan PKR.

Dalam pada itu, polis masih lagi menyiasat penyebaran rakaman seks yang dikaitkan dengan Azmin.

Menurut polis, Haziq disiasat mengikut Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan hubungan seks di luar tabi’i (Seksyen 377B), menyebar bahan lucah (Seksyen 292), dan mengaibkan dengan niat memecahkan keamanan (Seksyen 504).

Beliau juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian. – 7 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen