TIADA pegawai polis yang dibenarkan untuk mengancam sesiapa kerana kita menghormati kebebasan bersuara, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Menurutnya, beliau tidak akan membenarkan perkara itu berlaku terutamanya dalam kalangan pegawai cawangan khas.
“Saya akan periksa dan bertindak. Saya tidak fikir begitu, jika ada saya akan panggil pegawai terlibat,” katanya selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya di Pulapol.
Beliau berkata demikian berhubung dakwaan dua aktivis yang dikatakan diancam oleh salah seorang pegawai polis.
Semalam, Ketua Pemuda Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) Siah Kwong Liang dan Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMany) Wong Yan Ke mendakwa mereka diancam pegawai Cawangan Khas Bukit Aman.
Kedua-dua mereka dipanggil berasingan oleh polis selepas acara solidariti dengan gerakan aktivis di Hong Kong yang anti undang-undang ekstradisi ke China.
Siad berkata, polis bertanya kepadanya berkenaan pandangan mengenai China dan Parti Komunis China sebelum seorang pegawai bernama “Tuan Tan” turut serta.
“Dia memberitahu saya: ‘Cawangan Khas ada kuasa besar. Saya boleh hantar surat kepada Pejabat Pendaftar Pertubuhan untuk bubarkan pertubuhan kamu.
“Saya boleh hubungi majikan kamu dan bertanya sama ada mereka masih mahu kamu bekerja dengan mereka. Kami juga boleh mempengaruhi pengajian kamu. Kamu tak boleh lulus dan dapat kerja,” katanya. – 7 Julai, 2019.
Komen