Jangan serang orang sendiri, kata Zahid


SM Amin

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, ahli dan pemimpin Umno perlu mensasarkan Pakatan Harapan dan berhenti menyerang sesama sendiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2019.

Ahli dan pemimpin Umno perlu mensasarkan Pakatan Harapan dan berhenti menyerang sesama sendiri, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid berkata, ahli Umno perlu berhenti melayan perbezaan pendapat sehingga menyebabkan wujud kumpulan dalam parti.

“Masalah yang berlaku di hadapan kita, kita jarang menyerang musuh di luar. Kita kenal musuh di luar tetapi peluru yang kita ada di dalam peperangan di gelanggang politik digunakan untuk menembak rakan kita sendiri.

“Kita selama ini melayani perbezaan pendapat yang akhirnya terbentuk kabilah-kabilah yang berbeza dalam  kalangan kita. Cukuplah,” katanya.

Beliau menggesa demikian dalam ucapan ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Tambun di Bangunan Umno Perak, Ipoh.

Menurut Zahid, perbezaan pendapat dalam parti perlu dihentikan segera sebaliknya tumpuan perlu diberikan kepada usaha untuk memperkukuhkan parti.

Beliau juga mengarahkan seluruh Umno negeri mengadakan konvensyen negeri sebelum Perhimpunan Agung Umno (PAU).

“Beri peluang kepada rakan-rakan di peringkat Bahagian yang tidak dapat berucap di PAU untuk bercakap di konvensyen Umno negeri-negeri supaya kita dengar suara mereka.

“Mereka juga mahu melihat Umno dan Barisan Nasional menang dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Kewujudan kem dalam Umno itu dibangkitkan Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob yang berkata kumpulan itu tidak senang dengan keputusan Zahid untuk kembali memimpin parti.

Gesaan sama disuarakan bekas presiden Umno Najib Razak semalam meminta ahli-ahli parti itu menerima keputusan Zahid untuk kembali menjalankan tugas sebagai presiden Umno.

Tegas Najib, ahli yang tidak bersetuju Zahid menerajui parti berhak untuk memilih pemimpin baharu dalam pemilihan parti pada masa akan datang. – 7 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen