Jurucakap agensi bencana alam Indonesia meninggal dunia


Sutopo Purwo Nugroho paling diingati kerana kegigihan beliau memberi taklimat setiap hari, melayani panggilan wartawan dan berkomuniasi di media sosial ketika bencana di Palu sedangkan ketika itu sedang menjalani rawatan bagi penyakit barah paru-paru tahap empat. – Gambar AFP, 7 Julai, 2019.

JURUCAKAP agensi bencana alam Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho yang cukup terkenal gigih melaporkan tentang sebarang tragedi, meninggal dunia akibat barah pada usia 49 tahun.

Sutopo yang lebih terkenal dengan panggilan mesra Pak Topo, bertindak sebagai wakil kerajaan dalam melaporkan perkembangan terkini mengenai bencana alam di Indonesia, termasuk kejadian gempa bumi-tsunami yang melanda kepulauan Sulawesi pada 2018.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), Sutopo meninggal dunia awal pagi di sebuah hospital di Guangzhou, China di mana beliau mendapatkan rawatan penyakit barah yang telah merebak ke tulang dan beberapa organ penting.

“Kehilangan Pak Sutopo amat dirasai. (Beliau) individu penting dan paling bersemangat dalam melaporkan maklumat bencana alam di Indonesia,” kata agensi dalam satu kenyataan di Instagram.

Paling diingati ialah kegigihan beliau memberi taklimat setiap hari, melayani panggilan wartawan dan berkomuniasi di media sosial ketika bencana di Palu sedangkan Sutopo ketika itu sedang menjalani rawatan bagi penyakit barah paru-paru tahap empat.

Sutopo mendapat tahu beliau menghidap penyakit itu pada Januari tahun lalu, dan doktor memaklumkan Sutopo mungkin mempunyai masa setahun untuk hidup.

Beliau meninggalkan seorang balu dan dua anak.

Sutopo adalah pemegang Phd dalam sumber semula jadi dan alam sekitar, dengan pengkhususan dalam hidrologi dan pembenihan awan. 

Beliau menghabiskan masa selama sepuluh tahun sebagai penyelidik dan bercita-cita untuk menjadi seorang profesor.

Sutopo pernah tiga kali menolak tawaran sebagai jurucakap kerajaan sehinggalah diyakinkan oleh ketuanya. Beliau mula menggalas tugas sebagai penyampai maklumat bencana alam Indonesia pada 2010.

Cukup terkenal di negaranya, Sutopo mempunyai hampir 200,00 pengikut di Twitter dan 70,000 pengikut di Instagram. – AFP, 7 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen