Gabung tanah peneroka jadi estet besar, kata PM


Diyana Ibrahim

Amalan lama dengan memberikan 10 ekar tanah kepada peneroka untuk tanaman kelapa sawit dan getah tidak boleh diguna pakai lagi, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2019.

KERAJAAN akan menggabung tanah peneroka menjadi estet besar dan mempelbagaikan tanaman untuk pendapatan golongan itu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, amalan lama dengan memberikan 10 ekar tanah kepada peneroka untuk tanaman kelapa sawit dan getah tidak boleh diguna pakai lagi.

Jelasnya, pendapatan golongan ini banyak merosot akibat harga komoditi yang tidak menentu dan penyelewengan oleh pengurusan lama Felda, sehingga kerajaan terpaksa memberikan subsidi.

Katanya, langkah menggabung tanah tersebut juga dibuat berdasarkan pemerhatian ke atas estet besar milik syarikat asing yang terus meraih untung walau harga kelapa sawit dan getah jatuh.

Jelasnya, estet itu bertahan kerana keluasan tanah yang besar dan mampu mempelbagaikan sumber.

“Memerhati perkara ini kerajaan meracang menjadikan kawasan Felda sebagai estet besar yang diurus oleh pakar terlatih dalam pengurusan estet.

“Peneroka boleh bekerja dalam estet ini atau mendapat bahagian mereka daripada keuntungan hasil tanah ini,” katanya.

Perdana menteri berucap di majlis Sambutan Hari Peneroka di Felda Selancar 3, Muadzam Shah, Rompin.

Oleh itu beliau berharap peneroka Felda dapat memberikan kerjasama kepada kerajaan dengan membenarkan penggabungan tanah mereka untuk dijadikan estet besar.

Tambahnya dengan hanya 10 ekar diberikan kepada setiap orang, peneroka tidak mungkin akan memberikan pendapatan yang tinggi kepada mereka.

Perdana menteri itu menjelaskan dengan penggabungan tanah maka kerajaan boleh membahagikan tanaman kelapa sawit dan getah kepada tanaman lain seperti buah-buahan dan sayuran.

“Kalau kita punya ladang besar mungkin 1,000 ekar atau lebih kita boleh tanam dengan buahan dan sayuran kerana permintaan amat besar dalam negara,” katanya.

Beliau berkata penggantungan import makanan seperti buah dan sayuran dari negara jiran amat besar iaitu sebanyak RM60 bilion  walhal ia boleh ditanam oleh peneroka sendiri bagi menambah pendapatan.

“Katakanlah 10 peratus tanah dicampur guna tanaman lain apabila harga komoditi kita boleh bergantung kepada penjualan lain,” katanya.

Beliau berkata, dengan langkah menambah aset yang lebih lebih besar penduduk luar bandar tidak akan lagi dianggap miskin kerana ia dapat mengubah jurang sosio ekonomi mereka.

Pada masa ini terdapat sejuta individu di 112,635 keluarga peneroka yang tinggal di 317 tanah rancangan Felda di seluruh semenanjung Malaysia.

Ketika ini Felda merupakan operator ladang terbesar di dunia menguruskan 811,140 hektar (2,0004,400 ekar) bagi tanaman kelapa sawit di seluruh Malaysia.

April lalu Putrajaya memperuntukkan RM6.23 bilion untuk menyelamatkan Felda daripada masalah kewangan yang dicetuskan oleh pentadbiran Najib Razak dalam pembentangan kertas putihnya. – 7 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen