Wakil khas berpuas hati dengan rundingan AS-Taliban


Rundingan antara puak Taliban dengan wakil khas AS yang berlangsung di Doha itu untuk mencapai kata sepakat yang akan menyaksikan tentera AS berundur dari Afghanistan sebagai balasan bagi beberapa jaminan. – Gambar AFP, 7 Julai, 2019.

PUSINGAN ketujuh rundingan damai Amerika Syarikat (AS)-Afghanistan di Qatar ketika ini adalah yang paling memberangsangkan setakat ini, kata wakil khas AS, Zalmay Khalilzad semalam.

Rundingan antara puak Taliban dengan wakil khas AS yang berlangsung di Doha itu untuk mencapai kata sepakat yang akan menyaksikan tentera AS berundur dari Afghanistan sebagai balasan bagi beberapa jaminan.

“Selama enam hari ini, ini merupakan pusingan paling produktif pernah kami capai dengan Taliban,” kata Khalilzad.

“Pada asasnya, empat perkara yang dibincangkan sejak rundingan bermula adalah keganasan, pengunduran tentera asing, dialog serta rundingan dalam Afghanistan, dan gencatan senjata.

“Buat pertama kalinya saya boleh katakan yang kami mengadakan perbincangan substantif dan perkembangan bagi kesemua empat isu tersebut.”

Wakil khas itu juga berkata rundingan terus AS-Taliban untuk mengakhiri perang 18 tahun akan ditangguhkan bagi memberi laluan kepada mesyuarat dua hari wakil Afghanistan dan akan disambung semula pada Selasa.

Jurucakap bagi pejabat Taliban di Qatar, Suhail Shaheen berkata mereka berpus hati dengan rundingan bersama AS setakat ini.

“Kami gembira dengan perkembangan ini dan berharap usaha lain juga akan selesai. Kami tidak menghadapi sebarang masalah setakat ini,” katanya di Twitter. – AFP, 7 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen