BERPELUKAN ketika masa makan adalah salah satu teknik digunakan doktor haiwan Thailand untuk membesarkan seekor dugong yatim piatu bernama Mariam, dan kehadirannya membantu menyebarkan minat pemeliharaan dan pemuliharaan laut.
Ditemui terdampar di pantai pada Mei lalu ketika berusia enam bulan, mamalia laut itu menerima jagaan rapi pegawai taman laut, kumpulan alam sekitar tempatan dan doktor haiwan di Pusat Biologi Laut Phuket.
Ia menjadi tumpuan ramai selepas gambarnya dipeluk doktor haiwan tular di media sosial, dan Jabatan Sumber Laut dan Perairan (DMCR) kerap memuat naik perkembagan keadaanya.
Doktor Pathompong Kongjit memberitahu AFP yang Mariam- kini tinggal di perairan sekitar Pulau Ko Libong, di daerah Trong- menjadi simbol diperlukan untuk membantu usaha membersihkan laut Thailand yang dipenuhi sampah sarap.
“Mariam mencetuskan minat ramai rakyat Thai untuk menjaga binatang laut, laut Thai dan alam semulajadi secara umumnya,” katanya.
Tetapi setakat ini, cabaran utamanya adalah menjaga diri sendiri dan memberinya makanan, kerana Mariam bermasalah hendak mengutip rumput laut.
“Mariam hanya boleh makan rumput laut,” katanya kepada AFP, menambah yang binatang itu “semakin pandai” menjaga diri.
Dugong betina selalunya menyusukan anak mereka ketika sedang berenang- sesuatu yang tidak dapat dilakukan doktor haiwan.
“Jadi kami pegangnya ketika menyusu, dan selepas itu dia akan berenang sebagai senaman untuk sistem perkumuhan,” kata Pathompong.
Penjaganya juga menggunakan kanoe oren- diberi nama “Ibu Oren”- untuk mengikutnya sekitar perairan ketika senaman itu.
Peningkatan tumpuan awam kepada progres Mariam menyebabkan DCMR mewujudkan siaran langsung perkembangan anak dugong itu dijangka mula ditayangkan pada akhir minggu ini.
Seekor lagi anak dugong juga ditemui terdampar di Krabi awal minggu ini.
Pusat Biologi Marin Phuket dalam kenyataan berkata dugong terdampar kerana kesan perikanan dan aktiviti lain manusia.
Perairan selatan Thailand menjadi rumah kepada hampir 250 ekor dugong. – AFP, 7 Julai, 2019.
Komen