Iran mahu tingkatkan pengayaan uranium sebanyak 5%


Iran mahu mempertingkat pengayaan uranium sebanyak 5% selepas sekatan dikenakan AS. – Gambar EPA, 7 Julai, 2019.

SEORANG penasihat kanan kepada pemimpin ulung Iran memberi petunjuk yang Tehran mampu melakukan proses pengayaan uranium sehingga 5% untuk tujuan “keamanan”, menjelang tarikh akhir ditetapkan untuk kuasa dunia berusaha menyelamatkan perjanjian nuklear 2015.

Tindakan Iran itu adalah berdasarkan ugutan dibuat pada 8 Mei lalu untuk menggantung semua syarat perjanjian sebagai tindak balas kepada pengenaan semula sekatan dibuat Presiden AS Donald Trump selepas kuasa besar itu menarik diri daripada perjanjian Mei tahun lepas.

Perjanjian itu membataskan pengayaan uranium Iran pada kadar 3.67%, tahap mencukupi untuk janaan kuasa tetapi 90% lebih rendah daripada yang diperlukan untuk pembinaan senjata nuklear.

Pengayaan uranium “akan ditingkatkan sebanyak mana yang diperlukan untuk aktiviti keamanan kita,” kata Penasihat Hubungan Antarabangsa kepada Ayatollah Ali Khamenei, Ali Akbar Velayati dalam sebuah wawancara pada Jumaat diterbitkan di laman web rasmi pemerintah.

“Untuk reaktor nuklear Bushehr kita perlukan 5% pengayaan dan ia akan untuk matlamat keamanan sepenuhnya,” tambahnya.

Bushehr adalah satu-satunya stesen nuklear Iran dan digerakkan oleh bahan bakar diimport dari Rusia dan dipantau ketat oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa PBB.

Pada 8 Mei lalu, Iran mengumumkan ia tidak lagi akan menghormati batasan ditetapkan perjanjian nuklear dan mengugut membatalkan penyertaan dalam perjanjian itu bermula 7 Julai.

Ia juga mengancam menyambunh semula reaktor air berat- mampu mengeluarkan plutonium- di Arak, tengah Iran. Projek itu jadi tumpuan semasa rundingan perjanjian.

Tindakan itu adalah tindak balas kepada kegagalan pihak dalam perjanjian- Britain, China, Perancis, Jerman dan Rusia- untuk membantu Tehran daripada kesan buruk sekatan AS.

“AS secara langsung dan Eropah secara tidak langsung melanggar perjanjian,” kata Velayati.

“Kita akan bertindak sewajarnya jika pelanggaran terus berlaku.” – AFP, 7 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen