PUTERA Archie, anak Putera Harry dan Meghan dibaptiskan semalam di sebuah gereja di Istana Windsor dalam sebuah majlis tertutup selepas kelahirannya pada awal Mei lalu.
Anak pertama pasangan diraja itu- ketujuh dalam senarai pewaris takhta British- memakai replika jubah baptis yang dibuat pada 1841 untuk upacara pembaptisan Ratu Victoria.
Replika jubah itu dipakai bayi diraja untuk upacara pembaptisan sejak 11 tahun lalu.
Archbishop Cantebury Justin Welby membaptiskan putera berusia dua bulan itu menggunakan air Sungai Jordan dan barangan perak diraja Lily Font, mengikut tradisi diraja.
Duke dan Duchess of Sussex itu mengeluarkan dua keping gambar mereka bersama Archie di akaun media sosial mereka, mendedahkan wajah putera itu untuk pertama kali.
Dalam satu gambar, mereka dikelilingi ahli keluarga diraja lain, gambar kedua pula menunjukkan pasangan suami isteri itu memangku putera mereka.
Gambar dirakam oleh jurugambar fesyen Chris Allerton, yang juga merakam gambar perkahwinan Harry dan Meghan tahun lepas.
Ibu Meghan, Doria Ragland, abang Harry, William dan isterinya Kate, serta ayahnda mereka Putera Charles dan isteri Camilla turut berada di dalam gambar.
Adik mendiang Diana, Princess of Wales- bonda Harry dan William- turut hadir dan bergambar.
Nama ibu dan ayah angkat Archie masih belum didedahkan Harry dan Meghan dan masih jadi misteri. – AFP, 7 Julai, 2019.
Komen