BUMI Manusia adalah siri pertama dari tetralogi karya Pramoedya Ananta Toer (Pram), sasterawan ikonik nusantara. Novel ini pertama kali diterbitkan pada 1980 oleh Hasta Mitra.
Sebagai bekas tahanan politik Pulau Buru (1965 hingga 1979) Mahkamah Agung Indonesia di bawah rejim Orde Baru Suharto mengharamkan penerbitan novel ini setahun kemudian.
Bumi Manusia ditulis ketika Pram dikurung sebagai banduan politik di Pulau Buru atas tuduhan tanpa perbicaraan. Pram dituduh sebagai simpatisan kelas A Parti Komunis Indonesia (PKI).
Pram antara 2,500 tahanan yang dibuang ke Maluku selepas tragedi Gerakan 30 September/PKI 1965 yang mengorban tujuh nyawa jeneral Tentera Nasional Indonesia (TNI).
Pram ditangkap pada 13 Oktober 1965 dan dipenjara di pulau wilayah Maluku, 1,400 batu dari kota Jakarta. Malah, dalam pembersihan PKI yang dilancarkan 12 hari selepas kejadian yang menular kekacauan dari Aceh ke Kalimantan itu, Pram disenaraikan sebagai musuh kelas A.
Suharto yang menggantikan Sukarno selepas tragedi 30 September/PKI ketika dunia di puncak ketegangan perang dingin, melancarkan ops pembersihan PKI. Walaupun Pram bukan komunis, namanya tersenarai antara buruan paling berbahaya.
Tindakan ironis TNI ini bersandarkan pada pembabitan Pram dalam Lembaga Kebudayaan Rakyat (Lekra), gerakan seniman dan sasterawan yang dilabel Orde Baru sebagai sekutu PKI.
Tuduhan ini tidak pernah dibuktikan selama 14 tahun Pram dikurung di Pulau Buru. Malah, hingga ke akhir hayatnya pada 30 April 2006 pada usia 81 tahun (lahir 6 Februari 1925) Pram menerima hukuman pengurungannya sebagai tindakan politik.
Namun, dalam tempoh ditahan tanpa bicara itulah, Pram berjaya menulis novel masterpiece Bumi Manusia. Sekali gus meninggalkan buah tangan sastera paling mahal dalam sejarah novel di Nusantara.
Karya Pulau Buru ini bermula dengan perjalanan watak utama Minke sebagai remaja bangsawan Indonesia yang masuk belajar di Hogere Burgerschool atau HBS, tempat elit anak-anak Belanda.
Seterusnya, Minke melalui tempoh perjuangan selama tiga dekad dengan latar zaman pada awal abad ke 20. Tiga lagi siri kembara tetralogi novel ini ialah Anak Semua Bangsa, Jejak Langkah dan Rumah Kaca.
Kisah panjang tiga dekad ini bermula dengan idea yang dicerita secara lisan sesama rakan tahanan di Pulau Buru pada sekitar tahun 1973. Pram hanya mula menulis tetralogi ini pada 1975 – sepuluh tahun selepas ditahan dan empat tahun sebelum dibebaskan.
Setahun selepas keluar penjara, novel Bumi Manusia pun dicetak pada 1980. Namun diharamkan setahun kemudian. Satu lagi tindakan yang jelas menampakkan betapa paranoianya Orde Baru pimpinan Jeneral Suharto terhadap lelaki bangsawan Jawa dan bekas tahanan politik ini.
Pram ternyata tidak dilupakan walaupun 14 tahun diasingkan. Lahirnya novel Bumi Manusia, sekelip mata menjadikannya sasterawan yang disanjung rakyat Indonesia.
Ketakutan Suharto sudah boleh dijangka. Novel Bumi Manusia mendadak popular apabila diulang cetak 10 kali dalam tempoh 12 bulan. Itu punca sebenar pengharamannya.
Meskipun diharamkan di tanahairnya, sehingga 2005, novel ini merayau ke seluruh dunia melalui 33 bahasa. Novel ini juga berada di pasaran Malaysia pada 1984.
Bumi Manusia merangkumi latar waktu antara 1898 hingga 1918. Tempoh dua dekad yang dicitrakan Pram sebagai zaman awal kebangkitan semangat kebangsaan Indonesia.
Bumi Manusia ke sinema
Sejak beberapa tahun lalu, Indonesia jadi heboh apabila tersebar berita novel Bumi Manusia bakal difilemkan. Ketika itu sinema Indonesia sedang dilanda demam filem biografi para negarawan.
Lahirnya filem Habibie, Sukarno dan Kartini, terasa dilengkapkan dengan kemunculan Bumi Manusia. Satu tanda aras sinema Indonesia sudah mapan dan matang. Sekali gus menjadikan layar lebar negara merah putih itu menuju ke tahap lebih berprestij.
Bumi Manusia bukan dikerjakan para amaturis filem. Produksinya diusahakan penerbitan berpengaruh Falcon Pictures.
Malah, taraf pembikinan Bumi Manusia juga bukan sembarangan. Novel ini disutradarakan Hanung Bramatyo.
Siapa tidak kenal nama besar yang dua kali meraih Award Sutradara Terbaik di Festival Filem Indonesia.
Filem Brownie (2004) dan Get Married (2007) meletakkan Hanung sebagai sutradara gred A era ini. Malah, filem popularnya yang meletup pula berjela-jela senarai judulnya.
Hanung popular kerana kerja hebatnya dalam filem Ayat-Ayat Cinta (2008), Wanita Berkalung Sorban (2009), Tendangan Dari Langit (2010), Sang Pencerah (2010), Perahu Kertas (2012), Perahu Kertas 2 (2013), Soekarno: Indonesia Merdeka (2013), Surga Yang Tak Dirindukan 2 (2017) dan Kartini (2017).
Kini, sebaik saja menonton thriller Bumi Manusia yang berputar di Youtube dan dikongsi di pelbagai platform media sosial, sentuhan Hanung terasa cukup mempesonakan. Walaupun sekadar promo 90 saat, ia mampu mengembalikan imbauan imaginasi tahun 1987 ketika pertama kali membaca novel ini.
Walaupun sedikit terkejut kerana Hanung memilih bintang muda Iqbaal Ramadan sebagai Minke. Namun, sutradara berusia 43 tahun ini, pasti punya percaturannya.
Iqbaal, bintang junior dalam senarai aktor sohor di Jakarta. Namanya mendadak popular sebagai pelakon utama filem pecah panggung Dilan 1990 (2018).
Justeru, tiga adegan pendek dalam promo ini juga berjaya memperlihatkan aura Iqbaal sebagai Minke yang tegar dan bijak. Malah, romantis juga.
Iqbaal berjaya mengisi susuk keremajaan Minke – watak yang menghidupkan roh anak muda yang cintakan pendidikan, kasihkan bangsa Indonesia, membelakangkan status keluarga bangsawannya. Malah, watak yang penuh roman gombal serta sikap romantisnya yang luar biasa.
Minke, kunci perjalanan utama novel ini. Selain Iqbaal, pemilihan aktres kacukan Indonesia Jerman, Chelsea Islan sebagai Anneliese juga terasa tepat. Melihat redup mata Chelsea dalam promo filem ini, ternyata ia memenuhi imaginasi terhadap Anneliese.
Apalagi saat melihat Chelsea tersenyum. Susunan gigi gadis ini memenuhi deskripsi Pram terhadap kecantikan Anneliese sebagai anak kacukan Indo Belanda.
Chelsea melengkapi gambaran Pram: “Susunan giginya putih bersih bagai mutiara dalam gelas kaca.”
Selain Iqbaal dan Chelsea, kejutan lain ialah pemilihan Sha Ine Febriyanti sebagai Nyai Ontosoroh. Dalam Bumi Manusia, nilai intelek novel ini dipacu melalui watak hebat wanita simpanan Tuan Milema, hartawan Belanda.
Apa yang pasti, Ogos nanti, Indonesia akan bergegar dengan demam novel-novel Pram ke sinema. Pastinya Ogos bakal menjadi bulan sastera yang luar biasa.
Selain Bumi Manusia, sebuah lagi novel hebat Pram berjudul Perburuan turut difilemkan dan ditayang serentak.
Ayuh! Apa lagi, jom kita meraikan Pram di bioskop Jakarta! – 7 Julai, 2019.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen