GERGASI teknologi China Huawei semalam telah membuka kedai terbesarnya di luar negara itu di Madrid, lapor agensi berita Xinhua.
Presiden Kumpulan Perniagaan Pengguna Huawei bagi Rantau Eropah Barat Walter Ji berkata, kedai itu yang beroperasi di sebuah bangunan dua tingkat berkeluasan 1,100 meter persegi terletak di pusat bandar Madrid di mana pelanggan boleh mengalami sendiri teknologi terkini Huawei, termasuk 5G dan aplikasi kecerdasan buatan.
Lebih 1,000 orang hadir pada majlis pembukaan kedai itu.
Pada 15 Jun, Vodafone Espana dengan kerjasama Huawei melancarkan perkhidmatan mobil 5G komersial pertamanya di Sepanyol menjadikan ia antara negara pertama Eropah yang memiliki rangkaian mobil ultrapantas di rantau itu.
Vodafone mengumumkan bahawa ia menawarkan perayauan 5G di empat negara Eropah —Britain, Jerman, Sepanyok dan Itali pada musim panas.
Huawei adalah syarikat peneraju dalam 5G di dunia. Syarikat China itu berkata ia telah memperoleh 50 kontrak 5G di seluruh dunia. – Bernama, 6 Julai, 2019.
Komen