HUJAN lebat berterusan selama tiga hari di Bangladesh telah memusnahkan sejumlah 273 pusat perlindungan dan mencederakan 11 orang di petempatan Cox Bazar di mana lebih 900,000 pelarian Rohingya tinggal, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, UNHCR.
Jurucakap UNHCR Charlie Yaxley, dalam satu taklimat media memaklumkan sejumlah 350 milimeter hujan turun dalam tempoh 72 jam mulai Isnin dan hujan lebih lebat dijangka melanda sepanjang minggu depan, dengan empat bulan musim monsun lagi terpaksa dihadapi.
Laporan awal menunjukkan terdapat 26 insiden tanah runtuh dan sukarelawan pelarian yang dilatih UNHCR serta rakan kongsinya telah bertungkus-lumus sepanjang malam pada Rabu dalam hujan lebat bagi membantu keluarga yang memerlukan bantuan segera, termasuk menyelamatkan pelarian dari tempat perlindungan yang musnah akibat tanah runtuh.
“Kami telah memindahkan buat sementara waktu sejumlah 2,137 orang, sama ada kerana pusat perlindungan mereka mengalami kerosakan teruk atau sebagai langkah berjaga-jaga,” kata Yaxley.
Menurut UNHCR, setakat ini, Pelan Respons Bersama 2019 bagi krisis kemanusiaan Rohingya di Bangladesh menerima hanya satu pertiga daripada sejumlah US$920 juta yang diperlukan. – Bernama, 6 Julai, 2019.
Komen