Doktor Cuba yang diculik di Kenya masih hidup


Cuba telah melakukan segala yang terdaya untuk mendapatkan semula mangsa culik dan setakat ini belum menerima tuntutan daripada penculik. – Gambar AFP, 6 Julai, 2019.

DUA doktor Cuba yang diculik di sepanjang sempadan Kenya dan Somalia yang bergolak pada April masih hidup, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Menteri Kesihatan Cuba Jose Angel Portal.

Dalam satu sidang akhbar di sini, Portal berkata Cuba telah melakukan segala yang terdaya untuk mendapatkan semula mangsa culik dan setakat ini belum menerima tuntutan daripada penculik.

Usaha membebaskan pakar bedah Landy Rodriguez dan doktor pelatih Assel Herrera merupakan, “satu proses kompleks yang memerlukan masa dan budi bicara untuk berjaya,” katanya.

“Kerajaan Cuba tidak akan menghentikan usahanya untuk membebaskan mereka,” katanya.

Presiden Cuba Miguel Diaz-Canel baru-baru ini bercakap melalui telefon dengan rakan sejawatnya dari Kenya, Uhuru Kenyatta, dan Somalia, Abdullahi Mohamed, untuk menyelaras usaha membebaskan kedua-dua doktor, yang didakwa diculik oleh kumpulan pelampau al-Shabaab, yang beroperasi di kawasan sempadan terbabit.  – Bernama, 6 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen