Mexico selamatkan 24 pendatang mangsa diculik


Mexico menghantar pulang 33 peratus pendatang asing pada bulan Jun, kata pihak berkuasa minggu ini. – Gambar AFP, 6 Julai, 2019.

PIHAK berkuasa Mexico pada hari Jumaat menyelamatkan 24 pendatang Amerika Tengah, termasuk sembilan kanak-kanak, yang menjadi tebusan selama hampir tiga minggu di Guanajuato.

Para pendatang itu dikurung selama 20 hari di bandar Celaya, sekitar 210 kilometer dari Mexico City, kata Setiausaha Keselamatan Mexico Juan Jose Gonzalez.

Mereka memberitahu pihak berkuasa bahawa saudara-mara mereka telah membayar tebusan kepada penculik mereka sepanjang penculikan itu, kata Gonzalez.

Mangsa menerima rawatan selepas mereka berjaya dikesan, katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Kementerian Keselamatan Mexico mengumumkan penangkapan 59 orang pendatang, termasuk 55 warga Honduras, di sekitar bandar timur laut Saltillo, berhampiran sempadan AS.

Beribu-ribu warga Amerika Tengah cuba menyeberangi Mexico dalam apa yang disebut sebagai “karavan” setiap tahun dengan harapan memasuki Amerika Syarikat untuk mendapatkan perlindungan daripada keganasan dan kemiskinan yang terdapat di tanah air mereka.

Selepas Presiden AS Donald Trump mengancam Mexico dengan kenaikan tarif, pemimpin Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador bersetuju bulan lalu untuk membasmi aktiviti kedatangan pendatang tanpa izin dengan mengerahkan puluhan ribu pengawal kebangsaan ke kawasan sempadan bagi menjaga sempada Mexico.

Mexico menghantar pulang 33 peratus pendatang asing pada bulan Jun, kata pihak berkuasa minggu ini.

Para pendatang adalah sasaran kumpulan jenayah yang beroperasi di Mexico yang menyaksikan lebih daripada 40,000 orang dilaporkan hilang secara rasmi. – AFP, 6 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen