Bersatu, Amanah, PKR satu-satunya harapan orang Melayu, kata Mujahid


Ragananthini Vethasalam

Mujahid berkata persoalan itu bukan mengenai menambah lebih ramai ahli parti sebaliknya ia adalah berkaitan dasar Pakatan Harapan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 6 Julai, 2019.

PARTI-parti komponen Pakatan Harapan adalah satu-satunya harapan untuk orang Melayu kerana dasar-dasar parti pembangkang seperti PAS dan Umno sudah usang, kata Menteri Hal Ehwal Agama, Mujahid Yusof Rawa.

“Sekalipun PAS dan Umno bergabung, sebagaimana yang berlaku sekarang, mereka tidak akan dapat menyediakan dasar yang kukuh,” kata Mujahid.

Beliau memberikan reaksinya terhadap jemputan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kepada semua parti Melayu, termasuk Umno, untuk menyertai Bersatu bagi menyatukan semula orang Melayu.

“Oleh itu beliau (Dr Mahathir) mencadangkan parti-parti Melayu lain untuk menyertai Bersatu. Bukan sahaja Bersatu tetapi juga menyertai Amanah atau PKR, “katanya di acara Street Raya hari ini.

Beliau berkata persoalan itu bukan mengenai menambah lebih ramai ahli parti sebaliknya ia adalah berkaitan dasar Pakatan Harapan.

Beliau berkata dasar Pakatan di Malaysia Baharu adalah progresif dan berpusat pada dinamisme sementara idea-idea pembangkang pula dilihat sebagai usang dan kuno.

Selain itu, katanya, pembangkang juga diselubungi skandal dan isu-isu rasuah, oleh kerana itu pembangkang tidak dapat membuat dasar yang kukuh, katanya.

“Untuk itu saja, saya tak fikir orang Melayu mempunyai pilihan lain selain Bersatu, PKR atau Amanah,” katanya

“Itu terpulang kepada mereka. Kami mempunyai parti yang memberi tumpuan kepada pembangunan semua rakyat Malaysia, dan orang Melayu akan menjadi terasnya,” kata Mujahid ketika ditanya mengenai pendirian parti yang mempunyai komposisi besar dari kalangan bukan Melayu.

Dr Mahathir yang juga pengerusi Bersatu berkata, beliau berpendapat semakin banyak parti-parti Melayu dibentuk, ia akan mengurangkan peluang mereka untuk memenangi pilihan raya.

“Ya, sertai Bersatu. Apabila kumpulan kita besar, kita menjadi kuat, tetapi jangan halang orang lain sertai (Bersatu), biarkan mereka turut serta.” katanya. – 6 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen