PERTUBUHAN Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) pada Jumaat lalu mengumumkan sejumlah 152 pendatang tanpa izin telah dihantar pulang secara sukarela dari Libya ke Mali, lapor agensi berita China Xinhua.
“152 pendatang telah dihantar pulang dengan selamat dari Libya ke Mali dengan bantuan agensi VHR (Humanitarian Voluntary Return) IOM Libya dan sokongan Tabung Amanah Kesatuan Eropah,” menurut IOM.
IOM kini mengendali program penghantaran pulang secara sukarela yang bertujuan mengatur kepulangan pendatang tanpa izin yang terkandas di Libya ke negara asal mereka.
Sebuah pusat resepsi imigran di timur Tripoli telah diserang pada Selasa lalu menyebabkan 53 orang terkorban manakala lebih 130 lagi cedera.
Kerajaan menuduh tentera musuh melancarkan serangan itu, yang dinafikan sekeras-kerasnya dan sebaliknya mendakwa insiden tersebut dilakukan pihak kerajaan.
Menteri Dalam Negeri Libya Fat’hi Bashagha pada Khamis berkata kerajaan kini menimbang untuk menutup semua pusat resepsi pendatang tanpa izin di negara itu atas alasan keselamatan susulan serangan maut tersebut.
Pusat perlindungan pendatang di Libya penuh sesak dengan beribu-ribu migran yang diselamatkan di laut atau ditahan oleh perkhidmatan keselamatan negara itu. – Bernama, 6 Julai, 2019.
Komen