Letupan mortar di pasar Afghanistan, 14 terbunuh


Militan Taliban dilaporkan masih tidak memberi ulasan segera berhubung tembakan mortar tersebut. – Gambar EPA, 6 Julai, 2019.

SEKURANG-kurangnya 14 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera apabila sebuah pasar sibuk di utara Afghanistan ditembak mortar, kata pihak berkuasa Afghanistamn semalam.

Beberapa peluru mortar Taliban meletup di pasar pagi Jumaat di daerah Khwaja Sabz Posh yang terletak di wilayah Faryab, kata Hanif Rezaee, jurucakap tentera Afghanistan.

“Empat belas orang awam terbunuh dan 40 orang termasuk wanita dan kanak-kanak cedera,” kata Rezaee kepada AFP.

Beliau berkata, Taliban cuba menyerang pusat pemeriksaan tentera yang berhampiran dengan pasar tersebut. 

Bagaimanapun, kumpulan pemberontak dilaporkan masih tidak memberi ulasan segera berhubung tembakan mortar tersebut.

Naem Musamim, pengarah kesihatan awam Faryab, berkata 14 mayat dan 39 orang yang cedera termasuk empat kanak-kanak telah dibawa ke hospital tempatan.

Sementara mangsa yang mengalami kecederaan kritikal dibawa ke hospital Mazar-i-Sharif di wilayah Balkh.

Insiden maut itu terjadi ketika perbalahan antara Taliban dan pasukan keamanan Afghanistan dilaporkan semakin memuncak, walaupun pegawai-pegawai Taliban dilaporkan telah beberapa kali bertemu dengan perunding AS di Doha bagi mengakhiri konflik tersebut.

Pada hari Ahad, para pemberontak akan mengadakan pertemuan di ibukota Qatar dengan pelbagai wakil daripada masyarakat Afghanistan sebagai sebahagian daripada proses damai antara pemberontak dan kerajaan. – AFP, 6 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen