SEORANG pelakon Korea Selatan bakal berdepan hukuman lima tahun di penjara Thailand kerana menangkap kerang gergasi terancam dalam satu rakaman rancangan realiti televisyen.
Lee Yeol-eum menangkap spesies terancam berkenaan ketika menjalani penggambaraan untuk rancangan “Law of the Jungle” – sebuah rancangan realiti Korea Selatan yang popular untuk episod 30 Jun.
Pelakon wanita berusia 23 tahun itu dilihat bersorak ketika dapat menangkap tiga kerang raksasa di taman laut nasional Thailand pada Mac lalu.
Kerang berkenaan disenaraikan sebagai spesies terancam dan dilindungi di bawah undang-undang Thailand.
Ketua Taman Negara Hat Chao Mai Narong Kongaid berkata, rakaman itu dilakukan pada April dan dia memfailkan dua dakwaan pada Rabu lepas terhadap pelakon berkenaan kerana melanggar undang-undang Taman Negara dan undang-undang Perlindungan Hidupan Liar.
“Dia dikenakan hukuman penjara lima tahun,” katanya kepada AFP.
Syarikat produksi rancangan itu telah meminta maaf namun pihak taman negara mengatakan ia adalah kes jenayah dan aduan itu tidak dapat ditarik balik.
Polis akan mencari cara untuk mencari bintang drama “My First Love” walaupun pelakon itu kini tidak lagi berada di Thailand.
Walaupun aduan jenayah itu telah difailkan kepada polis, kini tiba masa untuk mahkamah memutuskan sama ada Lee akan ditahan atau kes berkenaan digugurkan.
Lee bakal berdepan hukuman lima tahun penjara di bawah undang-undang Taman Negara atau empat tahun sekiranya melanggar undang-undang Perlindungan Hidupan Liar. Kedua-dua hukuman juga akan dikenakan denda sebanyak 20,000 baht ($650).
Dalam satu kenyataan yang disiarkan Jumaat lalu, syarikat produksi rancangan realiti Korea Selatan itu telah meminta maaf kerana tidak menyedari peraturan hidupan liar di Thailand.
“Kami akan lebih berhati-hati terhadap tindakan kami pada rancangan akan datang,” katanya. – AFP, 5 Julai, 2019.
Komen