MENTERI Hal Ehwal Agama Mujahid Yusof Rawa hari ini mengingatkan PAS untuk tidak menggunakan alasan agama ketika berhujah menolak amalan isytihar harta di kalangan ahli Parlimen.
Beliau memberitahu kepada pemberita di acara Street Raya hari ini bahawa sukar untuk diketahui apakah pendirian PAS mengenai usul isytihar harta kerana terdapat kenyataan berubah-ubah daripada kalangan pimpinan parti tersebut.
Mujahid turut berkata usul yang mahu mewajibkan setiap ahli parlimen mengisytiharkan harta itu adalah keputusan bersama oleh setiap parti komponen Pakatan Harapan dan bukan hanya agenda DAP sahaja.
Mujahid berkata demikian bagi memberi respons beliau terhadap kenyataan Presiden PAS Abdul hadi Awang yang menyatakan bahawa usul isytihar harta itu diambil daripada falsafah komunis sosialis DAP.
“Nombor satu, jangan guna Islam (sebagai alasan) jika mereka tak mahu (isytihar harta). Ia sama saja guna agama untuk kenyataan palsu.
“Kedua, jangan tuduh orang lain,” kata Mujahid.
Beliau juga menambah bahawa rang undang-undang untuk mewajibkan ahli Parlimen mengisytiharkan aset mereka adalah bagi tujuan ketelusan.
“Semua pihak termasuk PAS telah bersetuju dengannya pada masa lalu. Mengapa tiba-tiba DAP pula yang dituduh?
“Ketika saya pembangkang, saya isytihar aset saya. Adakah itu menjadikan saya seorang komunis?. Sudah tentu tidak, saya telah memenuhi tanggungjawab saya. ” Jelas beliau lagi. – 6 Julai, 2019.
Komen