Tunggu 3 tahun jika tak suka Zahid, kata Najib


SM Amin

Bekas presiden Umno Najib Razak berkata, ahli parti itu perlu menerima keputusan Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali bertugas sebagai presiden parti kerana beliau diberi mandat sehingga tiga tahun. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Julai, 2019.

AHLI Umno perlu menerima keputusan Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali bertugas sebagai presiden parti, kata bekas presiden itu Najib Razak.

Beliau menggesa ahli parti supaya tidak menimbulkan huru-hara kerana Zahid mendapat mandat untuk bertugas sebagai presiden Umno sehingga tiga tahun.

Oleh itu anggota yang masih tidak berpuas hati hanya boleh menentukan barisan pemimpin baharu dalam pemilihan parti akan datang, katanya.

“Zahid dah balik sebagai presiden parti sebab dia ada mandat sampai tiga tahun. Kita terima.

“Kalau kita tidak suka, kita tunggu tiga tahun tetapi jangan buat huru-hara dalam parti, jangan ada kem dan puak dalam parti,” katanya.

Ahad lepas, Zahid mengumumkan beliau kembali menjalankan tugas sebagai presiden Umno, enam bulan selepas menyerahkan tugas tersebut kepada timbalannya Mohamad Hasan.

Langkah itu menimbulkan kebimbangan beberapa pemimpin parti, antaranya naib presiden Hishammuddin Hussein yang khuatir ia akan menyebabkan Umno kembali berpecah dan goyah.

Bagaimanapun, Najib ketika diminta mengulas lanjut perkara itu menafikan kewujudan kem dalam Umno dan menganggapnya sebagai khabar angin dalam media sosial.

“Tidak wujud kem dalam Umno tetapi bunyi di sosial media sahajalah. Kita mesti hentikan ini semua.

“Mungkin datang daripada satu dua orang sahaja tetapi bila masuk sosial media dia jadi besar cerita. Jadi saya hendak sekarang ini, kita bersatu untuk rakyat,” katanya.

Menurut Najib, terdapat beberapa isu yang Umno perlu beri perhatian seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan untuk anak muda dan bukannya soal dalaman parti.

“Kita mesti bersatu untuk rakyat. Rakyat hendak apa? Rakyat hendak makanan atas meja, kos kesihatan berapa, lepas itu yang muda hendak pekerjaan.

“Ini dia isu yang Umno mesti beri perhatian. Jangan fikir pasal hal Umno sahaja, pemimpin Umno tidak betul semua,” katanya.

Umno juga perlu menumpukan kepada tuduhan skandal seks dihadapi pemimpin PH, katanya lagi ketika merasmikan mesyuat Umno bahagian Setiawangsa di Ampang, hari ini. – 6 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen