PENGASAS Amazon Jeff Bezos dan MacKenzie Bezos memuktamadkan penyelesaian perceraian mereka dengan kos mencecah AS$38 bilion (RM157 bilion), lapor Bloomberg News.
Di bawah perjanjian itu, MacKenzie, 49, akan menerima pegangan dalam Amazon.com dianggarkan berjumlah 19.7 juta, memberikannya 4% kepentingan dalam syarikat yang dinilaikan sebanyak AS$38.3 bilion itu, meletakkannya di kedudukan ke-22 dalam Indeks Bilionaire Bloomberg, menurut laporan itu.
Seorang hakim di King County, Washington memuktamadkan perceraian itu. Jeff, 55, akan mengekalkan kepentingan 12% dan masih menjadi lelaki terkaya dunia.
MacKenzie, seorang penulis, berkata beliau akan menyerahkan semua kepentingan dalam The Washington Post dan syarikat penerokaan angkasa, Blue Origin kepada bekas suaminya serta hak mengundi untuk pegangan dalam Amazonnya.
Beliau juga berjanji akan menderma separuh kekayaannya kepada badan kebajikan, menyertai senarai hartawan dunia yang menandatangani Ikrar Pemberian dunia.
Kehidupan peribadi Jeff jadi tumpuan dunia selepas Januari lalu mengumumkan perceraian dengan isterinya yang dikahwininya selama 25 tahun. National Enquirer mendedahkan perceraian itu berlaku kerana Jeff didakwa menjalin hubungan sulit dengan bekas pembaca berita, Lauren Sanchez.
Jeff dan MacKenzie berkahwin pada 1993 dan mempunyai empat orang anak. Jeff mengasaskan Amazon di garaj rumah mereka di Seattle pada 1994 dan menakluki industri peruncitan dalam talian. – AFP, 6 Julai, 2019.
Komen