Konflik bunuh 1,000 orang, PBB gesa gencatan senjata di Libya


Serangan udara terbaru mengenai sebuah pusat tahanan membunuh berpuluh migran dan mencetuskan kemarahan PBB. – Gambar AFP, 6 Julai, 2019.

MAJLIS Keselamatan PBB hari ini menggesa gencatan senjata di Libya ketika jumlah kematian kerana serangan tiga bulan di Tripoli mencecah 1,000 orang termasuk berpuluh yang maut kerana serangan udara di pusat tahanan migran.

Majlis mengecam serangan lewat Selasa lalu di kem tahanan di Tajoura, timur Tripoli dan “menekankan keperluan semua pihak untuk tidak memburukkan situasi dan komited terhadap gencatan senjata,” katanya dalam satu kenyataan bersama.

Komander tentera Libya Khalifa Haftar yang mengawal ketumbukan tentera di timur Libya dan selatan negara itu, melancarkan serangan pada awal April lalu untuk merebut ibu kota daripada tentera yang setia kepada kerajaan (GNA) yang disokong PBB.

Serangan udara dan pertempuran darat sudah membunuh hampir 1,000 orang dan mencederakan 5,000 yang lain, menurut Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) PBB.

Konflik juga menyebabkan lebih 100,000 hilang tempat tinggal dan berisiko mengheret Libya ke kancah perang lebih dahsyat.

Antara yang maut adalah 53 migran yang terbunuh dalam serangan udara malam Selasa lalu yang berlaku di pusat tahanan di Tajoura, Tripoli dalam kawasan dipegang GNA, yang menuduh tentera Haftar melancarkan serangan itu.

Jurucakap Organisasi Antarabangsa untuk Pelarian berkata enam orang kanak-kanak antara yang terbunuh.

Joel Millman berkata 350 migran, termasuk 20 wanita dan empat kanak-kanak masih ditahan di situ, salah satu daripada kem itu musnah dalam serangan udara itu.

PBB sudah menggesa siasatan bebas untuk menentukan pihak bertanggungjawab, yang menghimpunkan lebih 600 migran, kebanyakannya dari negara Afrika.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres sudah meluahkan kemarahan kerana serangan itu, dan berkata PBB sudah berkongsi lokasi pusat tahanan kepada semua pihak bertelagah bagi menghalang kejadian sama berulang.

Libya adalah salah sebuah negara transit utama migran yang mahu pergi ke Eropah.

Menurut PBB, hampir 5,700 pelarian dan migran ditahan dalam pusat tahanan seluruh Libya, 3,300 adalah di kawasan sekitar Tripoli.

GNA menerima sokongan Turki dan Qatar, manakala Haftar disokong Emiriah Arab Bersatu, Mesir dan menurut pakar, juga mendapat sokongan Amerika Syarikat. – AFP, 6 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen