Kes Najib dengan jawatankuasa Parlimen masih dalam proses, kata Liew


Ragananthini Vethasalam

Menteridi Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata pihaknya masih mengumpul bukti dan keterangan daripada saksi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Julai, 2019.

KES Najib Razak dengan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung pelanggaran embargo Kertas Putih Felda masih dalam proses, kata Liew Vui Keong.

Menteri hal ehwal undang-undang itu berkata bukti daripada saksi masih dikumpulkan.

“Masih dalam progres bermakna saksi masih memberikan keterangan,” kata Liew kepada The Malaysian Insight ketika ditanya tentang status kes itu.

Bekas perdana menteri dirujuk kepada jawatankuasa tindakan disiplin selepas melanggar arahan embargo semasa sidang Parlimen terakhir.

Najib didakwanya menyiarkan petikan kertas mengenai pembelian 37% saham Felda dalam Eagle Eagle Plantation di Facebook pada jam 5.39 malam 9 April walaupun embargo berkuatkuasa sehingga 11.30 pagi pada 10 April.

Usul untuk merujuk Najib kepada jawatankuasa itu dibentangkan oleh Liew pada 11 April.

Usul itu menyatakan Najib melanggar Peraturan Mesyuarat 95A Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat yang tidak membenarkan ahli membincangkan sebarang perkara yang klasifikasi embargo oleh Dewan Rakyat.

Selepas perdebatan hampir dua jam, 86 wakil rakyat menyokong usul tersebut, 33 lagi menentangnya. Najib tidak hadir untuk mengundi.
 
Pembangkang memohon undi belah bahagi dilakukan selepas tewas undi pungutan suara.

Semasa perdebatan, ahli-ahli pembangkang menegaskan bahawa keseluruhan laporan itu dimuat naik di laman web Parlimen sehari sebelumnya.

Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob berkata Najib tidak mungkin melanggar sebarang embargo setelah Parlimen memuatkan laporan penuh di laman webnya. – AFP, 6 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen