Eropah anti minyak sawit kerana perdagangan bukan isu alam sekitar


Sheridan Mahavera

Peningkatan penggunaan minyak kelapa sawit di Eropah juga menyebabkan penguasaan pasaran biji sesawi, bunga matahari dan jagung berkurangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2019.

PERLINDUNGAN perdagangan dan bukannya alam sekitar adalah punca peraturan terbaru Eropah yang menyasarkan Malaysia, kata seorang pegawai kanan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

Eropah pengguna minyak sawit kedua terbesar Malaysia selepas India, membeli 1.9 juta tan metrik komoditi itu pada 2018 saja. Hampir 45% daripada jumlah itu digunakan untuk biodiesel dalam pengangkutan dan pemanasan.

Tetapi, akta baharu yang diluluskan Jun boleh melenyapkan penggunaan minyak sawit sebagai biodiesel, seterusnya menjejaskan eksport Malaysia ke blok ekonomi berkuasa itu.

Suruhanjaya EU mendakwa Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui Kesatuan Eropah II (EU RED II) dan undang-undang tambahannya, adalah untuk menghalang penghapusan hutan dara disebabkan peluasan ladang kelapa sawit.

Tetapi, Pengarah Sains dan Alam Sekitar MPOC Dr Ruslan Abdullah berkata akta itu secara khusus menyasarkan minyak sawit berdasarkan kriteria yang dibuat hanya untuk komoditi itu.

Katanya, akta itu adalah soal melindungi industri minyak makanan Eropah seperti biji sesawi, bunga matahari dan jagung yang kini kalah dalam persaingan dengan minyak kelapa sawit.

Salah satu syarat “tidak adil”, kata Ruslan adalah akta itu tidak membezakan perbezaan negara pengeluar dalam aspek pengurusan ladang mereka.

“Kadar penebangan hutan kita 2.7% setahun tetapi jiran kita lebih besar. Macam mana mereka labelkan kita sama seperti negara lain?,” katanya.

Pengarah Sains dan Alam Sekitar MPOC Dr Ruslan Abdullah berkata akta diluluskan Eropah itu secara khusus menyasarkan minyak sawit berdasarkan kriteria yang dibuat hanya untuk komoditi itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 Julai, 2019.

Akta itu juga mempunyai unsur digelar “tambahan” yang merujuk kepada tambah baik penanaman komoditi itu setiap tahun.

Ruslan berkata kriteria itu memihak kepada tanaman yang ditanam setiap tahun seperti biji sesawi, bunga matahari dan jagung. Kelapa sawit ditanam sekali setiap 30 tahun.

“Dalam aspek kepelbagaian biologi, ladang kelapa sawit mempunyai kepelbagaian biologi lebih tinggi berbanding, katakan ladang jagung. Adakah ladang jagung ada harimau dan gajah?

“Jujurnya, ini soal perdagangan dan bagaimana minyak kelapa sawit daripada hanya 4% (penguasaan pasaran) minyak boleh makan pada 1970-an kepada 30% dalam masa hanya tiga dekad. Minyak kelapa sawit minyak paling besar penguasaan dalam pasaran dunia sekarang.”

Peningkatan penggunaan minyak kelapa sawit di Eropah juga menyebabkan penguasaan pasaran biji sesawi, bunga matahari dan jagung berkurangan. Semua produk itu ditanam, dikeluarkan dan banyak digunakan di Eropah.

“Sangat jelas yang minyak kelapa sawit akan mengambil alih pegangan dalam pasaran berbanding minyak lain dan secara logiknya mereka (Eropah) cuba mengawal minyak sawit daripada mengambil lebih banyak pegangan pasaran,” katanya. – 8 Julai, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen