RECEP Tayyip Erdogan menyeru penamatan “serangan menyalahi undang-undang” oleh pasukan Khalifa Haftar semasa pertemuan dengan perdana menteri Libya pada Jumaat, kata pejabat presiden Turki.
“Presiden memperbaharui sokongannya terhadap kerajaan yang diiktiraf masyarakat antarabangsa dan mendesak pemberhentian serangan menyalahi undang-undang oleh pasukan Haftar,” kata presiden itu dalam satu kenyataan.
Erdogan bertemu Perdana Menteri Libya Fayez al-Sarraj di Istanbul pada awal Jumaat.
Pemimpin Turki itu memberitahu Sarraj, kerajaan perpaduan kebangsaan (GNA) memperoleh sokongan Ankara dalam usaha untuk memastikan keamanan dan kestabilan Libya, kata pejabat presiden itu.
Tentera Haftar, yang mengawal sebahagian besar Libya timur dan selatan, melancarkan serangan pada awal April untuk merebut ibu negara daripada kerajaan.
Bulan lalu Haftar mengarahkan pasukannya mensasarkan syarikat Turki dan menahan warganya selepas kehilangan sebuah bandar besar untuk memaksa pemerintahan Sarraj.
Libya muka bergolak sejak kebangkitan pemberontakan yang disokong Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bertujuan menggulingkan pemimpin diktator, Muammar Gaddafi pada 2011.
Haftar adalah seorang jeneral bersara yang mengambil bahagian dalam pemberontakan tetapi pada Mei 2014 beliau melancarkan serangan membersihkan pelampau Islam yang dikatakannya “pengganas”. – AFP, 6 Julai, 2019.
Komen