KERAJAAN Pakatan Harapan dijangka meminda undang-undang pengurusan hutan tahun ini bagi memberi lebih kuasa kepada pihak berkuasa untuk menangani isu penebangan hutan.
Beberapa kes yang berlaku sejak kebelakangan ini menyebabkan pindaan ini amat diperlukan. Awal tahun ini, beberapa negeri dilanda krisis kekurangan air kerana antara puncanya disebabkan bekalan air terhad disebabkan penebangan hutan.
Tahun lepas, wujud krisis antara Orang Asli dan pembalak di Gua Musang, Kelantan apabila komuniti itu menuduh pembalak menceroboh kawasan tanah adat mereka.
Penebangan hutan untuk menanam kelapa sawit juga merosakkan reputasi Malaysia di luar negara sehingga mewujudkan ancaman terhadap permintaan komoditi yang merupakan eksport pertanian terpenting negara.
Semua kejadian ini berpunca daripada keputusan dibuat kerajaan negeri berkaitan penggunaan tanah mereka kerana menurut Perlembagaan Persekutuan di bawah bidang kuasa mereka.
Semua masalah ini diharapkan dapat diatasi dengan pindaan ke atas Akta Perhutanan Negara 1984 yang memberikan lebih kuasa kepada kerajaan persekutuan tentang cara kerajaan negeri menggunakan sumber semulajadi mereka.
Menurut sumber, antara cadangan pindaan termasuklah memasukkan produser operasi standard (SOP) untuk pengurusan hutan bagi semua negeri yang perlu dipatuhi serta garis panduan pengkelasan hutan yang boleh dan tidak boleh ditebang.
Tetapi kumpulan alam sekitar memberi amaran yang pindaan akta tidak akan memberikan kuasa mencukupi kepada kerajaan persekutuan kerana kerajaan negeri masih mempunyai kuasa meluas dalam hal berkaitan hutan mereka.
“Masalah dengan pengurusan tanah hutan adalah negeri ada kuasa untuk berbuat apa sahaja dengan tanah mereka kerana Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa untuk mereka berbuat demikian,” kata Dr Sahadeva Arunasalan daripada Persatuan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka).
“Untuk memberikan lebih kuasa kepada kerajaan persekutuan dalam hal berkaitan hutan, pindaan Perlembagaan Persekutuan perlu dibuat,” katanya yang merupakan naib presiden Peka. – 8 Julai, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen