SEORANG lelaki muda yang menuduh Kevin Spacey menyerangnya secara seksual di sebuah bar di Massachusetts membatalkan samannya terhadap pelakon ternama itu.
Usul untuk “pengguguran sukarela” saman sivil terhadap bintang drama House of Cards itu difailkan di mahkamah di Nantucket, Massachusetts, tetapi tiada sebab diberikan.
Motif peribadi untuk pengguguran kes itu minggu ini termasuklah penyelesaian dalaman atau hasrat penuduh untuk tidak mewujudkan risiko ke atas peluangnya dalam sebuah lagi kes jenayah lain yang difailkan enam hari lalu.
Peguam William Little, Mitchell Garabedian, yang terkenal selepas membela mangsa serangan seksual paderi Katolik, enggan memberikan sebarang ulasan.
Pendengaran tuduhan jenayah terhadap Spacey ditetapkan pada Isnin ini di mahkamah di Nantucket, sebuah komuniti elit di mana serangan itu didakwa berlaku pada Julai 2016.
Little sebelum ini berkata beliau merakam kejadian itu menerusi telefon bimbitnya, yang didakwanya berlaku ketika beliau berusia 18 tahun dan bekerja sebagai pelayan di bar restoran tempat kejadian.
Gambar tersebut, yang kata Little dikongsinya dengan teman wanitanya, didakwa menunjukkan Spacey memasukkan tangan ke dalam seluar remaja itu dan meramas kemaluannya.
Tetapi, peguam plantif berkata mereka tidak dapat menemui telefon bimbit itu, dan peguam bela Spacey menuntut untuk melihatnya.
Little berkata beliau tidak menemui telefon itu sejak menyerahkannya kepada polis pada Disember 2017. Polis berkata mereka sudah memulangkannya kepada ayahnya, yang mendakwa “tidak ingat” menerimanya.
Hakim berkata jika telefon itu masih tidak dapat dikesan pada Isnin, beliau akan memanggil Little untuk memberi keterangan.
Spacey, 59, didakwa pada Januari lalu dengan tuduhan cabul dan serangan seksual.
Beliau bertegas tidak bersalah. Hukuman jika sabit kesalahan adalah penjara hingga lima tahun.
Dakwaan salah laku seksual terhadap pemenang Oscar dua kali itu adalah salah satu daripada berpuluh tuduhan yang tercetus sejak 2017, di AS dan Britain dan memberi kesan buruk kepada kerjayanya.
Spacey digugurkan daripada drama popular House of Cards dan teraju utama dalam filem All The Money in the World arahan Ridley Scott, yang menyebabkan Christopher Plummer menggantikannya. – AFP, 6 Julai, 2019.
Komen