BEKAS ketua eksekutif Jawatankuasa Olimpik Amerika Syarikat (USOC) yang dikritik kerana cara beliau menangani skandal cabul Larry Nassar menerima AS$2.4 juta sebagai gaji pemberhentian, dedah rekod rasmi pada Rabu.
Scott Blackmun meletak jawatan sebagai ketua USOC pada Februari tahun lepas, kira-kira sebulan selepas bekas doktor pasukan gimnastik negara Nassar dipenjarakan kerana mecabul lebih 250 atlet, termasuk beberapa bintang dari pasukan Olimpik yang memenangi pingat emas 2012 dan 2016 AS.
Satu laporan bebas yang ditauliahkan oleh USOC, yang kini dikenali sebagai Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik Amerika Syarikat (USOPC), mengkritik peranan Blackmun dalam skandal tersebut.
Laporan penyiasat luar mendakwa Blackmun dan ketua-ketua Olimpik lain gagal bertindak sewajarnya apabila kali pertama memberi amaran mengenai tuduhan terhadap Nassar, menyembunyikan jenayah doktor sehingga skandal itu meletus pada akhir 2016.
Blackmun memberitahu penyiasat beliau “memulakan usaha dalaman di USOC untuk memberi amaran kepada pasukan SafeSport terhadap tuduhan itu dan mengesahkan USOC mengambil semua langkah wajar untuk bertindak balas terhadap tuduhan itu dan memastikan keselamatan atlet.”
Bagaimanapun, penyiasat kemudian membuat kesimpulan “tiada perbualan seperti itu, dan tidak ada langkah seperti itu diambil.”
Pembayaran pemecatan bernilai jutaan dolar didedahkan dalam laporan kewangan dikeluarkan pada Rabu.
Pengerusi USOPC, Susanne Lyons berkata, bayaran itu perlu untuk memudahkan “kepimpinan baru membimbing organisasi ke hadapan, serta masalah kesihatan serius Blackmun.”
Blackmun melepaskan jawatannya selepas didiagnosis dengan kanser prostat pada Januari 2018.
Peguam John Manly, yang mewakili ramai pesakit yang dicabul Nassar, membantah pembayaran itu.
“Blackmun tahu Larry Nassar adalah pencabul kanak-kanak pada musim panas 2015,” tulis Manly di Twitter. “Beliau menyembunyikan fakta itu daripada orang awam, media, polis & paling teruk daripada semua atlet & ibu bapa mereka.
“Daripada ke penjara, beliau diberi ganjaran sebanyak 2.4 juta, oleh para pemimpin USOC!”
Beberapa nama besar dalam sukan gimnastik AS dicabul oleh Nassar, termasuk Simone Biles dan rakan pemenang pingat emas lain Aly Raisman, McKayla Maroney dan Gabby Douglas. – AFP, 6 Julai, 2019.
Komen