Bera bergantung bantuan kerajaan untuk kelangsungan ekonomi


Sheridan Mahavera

Keadaan di Bera berbeza dengan negeri di pantai barat Semenanjung kerana boleh dikatakan hampir tiada pihak swasta dan semuanya bergantung sepenuhnya kepada agensi kerajaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Zainal Abd Halim, 30 September, 2017.

Menuju Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), The Malaysian Insight menerbitkan siri laporan mengupas kerusi-kerusi marginal. Dalam siri kedua di Parlimen Bera, kami mengupas bagaimana  ekonomi luar bandar memberi kesan kepada pengundi Melayu yang menjadi penyokong setia Barisan Nasional.

BANTAHAN secara senyap terhadap Barisan Nasional (BN) sedang membara di kalangan orang Melayu yang boleh mengancam penguasaan parti pemerintah di Bera, Pahang, di mana sumber pendapatan bergantung kepada kerajaan.

Pakatan Harapan (PH) berharap dapat memanfaatkan rasa tidak puas hati ini yang didorong oleh kenaikan kos barangan, bagi meningkatkan sokongan di kalangan masyarakat Melayu yang membentuk lebih 59% daripada 50,000 pengundi di kerusi persekutuan.

“Terdapat protes senyap terhadap Umno di Bera,” kata Mohd Zaid Omar mengenai parti utama BN itu. Beliau adalah koordinator Bera untuk Bersatu, parti komponen PH.

Bekas calon Parlimen Bera, Zakaria Abdul Hamid berkata, PH hanya memerlukan peningkatan minimum sebanyak 5% dalam sokongan pengundi Melayu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai dan Kemayan untuk menang.

Bagaimanapun, PH perlu mengekalkan 83% sokongan orang Cina Bera yang mengundi pembangkang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada tahun 2013.

Tetapi peningkatan sokongan Melayu masih merupakan sesuatu yang agak mustahil kerana BN telah banyak menguasai melalui kawalan semua agensi kerajaan.

Ekonomi Bera sangat bergantung kepada kerajaan, kata Zaid, seorang ahli perniagaan, sama ada melalui kontrak agensi persekutuan atau perkhidmatan majlis daerah.

“Tidak seperti pantai barat Semenanjung, hampir tiada sektor swasta di sini. Jadi, anda perlu bergantung kepada kerajaan,” katanya.

“Kelulusan kontrak mesti melalui pejabat wakil rakyat. Sekiranya anda ingin membuka perniagaan, hartanah dengan sewa yang rendah adalah dimiliki oleh pihak majlis daerah.

“Jadi, jika anda mahu bertahan, anda mestilah berbaik dengan kerajaan.”

Beberapa peneroka minum di kedai kopi yang terletak di Bera, Pahang. Rata-rata penduduk yang ditemui yakin Barisan Nasional akan mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Umum ke-14. – Gambar The Malaysian Insight oleh Zainal Abd Halim, 30 September, 2017.

Mengharap kerajaan

Ia adalah cara hidup di kampung-kampung di Bera, seperti Kampung Mengkarak, di sempadan utara Bera dengan Temerloh.

Di sini, Abdul Muis Fauzi yang menjalankan perniagaan kedai makanan dan runcit di sepanjang jalan Temerloh-Bera yang sibuk, menghubungkan Johor dan Negeri Sembilan.

Muis mendapat kebaikan daripada pertambahan kecil bilangan lori dan kenderaan pembinaan ke Bera dari Temerloh di utara. Perusahaan ikan patin yang kecil tetapi semakin berkembang di Kuala Teriang juga mengundang lebih ramai pelawat.

Beliau menyewa gerai dan kedai daripada majlis daerah dengan harga RM34 sebulan. Kadar yang rendah dan lokasi utama seperti ini adalah rahmat kepada peniaga kecil sepertinya.

Majoriti pelanggannya ialah mereka yang bekerja di projek pelebaran jalan Bera-Temerloh yang dimulakan oleh kerajaan persekutuan.

“Saya terpaksa menaikkan sedikit harga di restoran untuk menampung GST (cukai barangan dan perkhidmatan),” kata Muis.

“Tetapi secara keseluruhan, saya tidak terjejas teruk. Perniagaan tahun ini bertambah baik.”

Lelaki berusia 29 tahun itu berpendapat BN masih akan memenangi Bera pada PRU14, kerana wakil rakyat Guai, Norol Azali Sulaiman, sering dilihat di kawasan itu.

Projek pelebaran jalan itu juga membuktikan BN memberi perhatian kepada Bera walaupun ia terpencil, katanya.

Hanya pemanduan singkat dari gerai Muis ke Kuala Teriang diperlukan untuk ke lokasi kawasan akuakultur yang membela ikan patin di dalam sangkar di Sungai Pahang.

Azmi Mat Yunan adalah seorang daripada 20 penduduk kampung yang memperolehi tambahan RM500 setiap bulan bagi setiap sangkar patin yang dibela dan dijual.

Lebih banyak sangkar, lebih banyak wang tambahan yang mereka perolehi setiap bulan.

Hampir semua ikan mereka dijual ke restoran di Temerloh, Kuantan dan bahkan ke Kuala Lumpur dan Selangor.

“Tiada lagi tanah di sini untuk menanam kelapa sawit, getah atau sayuran. Hanya sedikit peluang perniagaan di Bera. Jadi, sukar untuk golongan muda seperti saya memperoleh wang tambahan. Kami tidak boleh hanya bergantung pada gaji kami.”

Hanya sedikit keraguan parti mana penduduk Kuala Teriang akan undi dalam PRU14.

“Terima kasih atas semua ini kepada Ismail Sabri (Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob), beliau melakukannya untuk kita, ketika menjadi menteri pertanian.

“Jika tidak, sukar untuk mendapatkan wang tambahan,” kata Azmi, 44, yang bekerja dengan majlis daerah.

Ismail Sabri kini menjadi menteri pembangunan luar bandar dan wilayah.

Azmi Mat Yunan bersyukur ikan patin sangkarnya dapat menjadi sumber pendapatan tambahan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Zainal Abd Halim, 30 September, 2017.

Undi Melayu bukan peneroka

Menurut data PRU13, orang Melayu membentuk 59% atau 30,088 daripada 50,997 pengundi Bera. Daripada 30,088 itu, kira-kira 21,000 adalah peneroka Felda.

Ini bermakna, kurang daripada 9,000 pengundi Melayu yang tersebar di seluruh kampung di Bera.

Dalam PRU13, BN memperoleh kira-kira 67% daripada undi Melayu luar bandar yang bukan terdiri daripada peneroka Felda, kata Zakaria PKR.

“Sokongan Melayu untuk pembangkang dalam PRU13 tidak menggalakkan,” kata Zakaria, yang kalah kepada Ismail Sabri dengan 2,143 undi.

Aktivis PH itu berharap dapat meningkatkan sokongan Melayu dengan memenangi hati lebih ramai peneroka Felda.

Ia juga mesti menarik lebih ramai orang Melayu yang pada masa lalu menyokong Umno tetapi kini merasai keperitan hidup akibat inflasi.

Zaid daripada Bersatu berkata sasarannya adalah untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 30 undi protes daripada ahli Umno semasa daripada setiap 55 cabang Umno di Bera.

“Kami percaya pengundi di bawah 40 tahun benar-benar merasakan kejutan akibat GST dan kos makanan yang lebih tinggi.”

Mereka seperti Mohd Nahar ini, yang pulang ke kampung sejak enam tahun lalu selepas menghabiskan sebahagian besar usia 20-an bekerja di Putrajaya.

Dia kini melakukan pelbagai kerja seperti menoreh getah, mengutip hasil dan membersihkan semak belukar.

Tidak seperti kawannya Muis, penjaga kedai, Nahar, 33, tidak melihat keadaan semakin baik.

“Tidak ada pekerjaan yang baik di kampung ini. Upah yang rendah dan saya merasakan pakaian bayi dan lampin lebih mahal daripada di bandar,” katanya.

Pendapatannya bergantung kepada harga getah dan minyak sawit. Kerana dia tidak memiliki pokok untuk dikutip hasilnya, dia terpaksa bergantung kepada belas ihsan pemilik ladang persendirian, yang membayar upah mengikut pertimbangan mereka sendiri.

Dia percaya BN hanya mempunyai peluang 50-50 untuk mendapat undi daripada orang-orang sepertinya.

“Kerajaan perlu berbuat lebih banyak untuk membantu menaikkan harga minyak sawit dan susu getah. Saya tidak tahu bagaimana mereka akan melakukannya, tetapi bagi saya, mereka perlu jika mahu memenangi pilihan raya.” – 30 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen